Berita Dunia
Angka korban ribut 'dahsyat' di Sepanyol cecah 158 orang

OVIEDO 1 Nov - Usaha mencari dan menyelamat diteruskan di Sepanyol pada Khamis selepas ribut luar biasa mengorbankan sekurang-kurangnya 158 orang dan menyebabkan kemusnahan besar, lapor Agensi Anadolu.
Menurut kerajaan wilayah, sekurang-kurangnya 155 kematian direkodkan di Valencia, kawasan yang paling teruk terjejas, dengan kematian lain dilaporkan di Wilayah Cuenca, Albacete, dan Malaga.
Menteri Pertahanan Sepanyol Margarita Robles berkata, pihak berkuasa masih belum dapat memberikan angka tepat mengenai mangsa bencana tetapi menyatakan bahawa "ramai orang" masih belum ditemukan.
Kira-kira 1,000 anggota tentera dikerahkan pada pagi Khamis, dengan keutamaan utama mereka adalah mencari mangsa yang hilang.
"Kami tahu di tempat-tempat seperti Paiporta dan Massanassa, mungkin ada orang di garaj, di ruang bawah tanah - orang yang keluar mencari kenderaan mereka," kata Robles dalam wawancara dengan penyiar Telecinco.
Pada pagi Khamis, sembilan mayat ditemukan di kejiranan La Torre, Valencia - lapan daripadanya di garaj sama, menurut datuk bandar. Media tempatan, termasuk El Mundo, melaporkan bahawa angka kematian meningkat kepada 104.
Kejadian ribut paling teruk berlaku pada Selasa, apabila hujan yang berukuran menghampiri dalam tempoh setahun berlangsung dalam tempoh beberapa jam, menyebabkan banjir kilat, limpahan sungai, dan jalan-jalan di bandar dan pekan, bertukar menjadi sungai-sungai yang mengalir deras.
Kejadian ribut yang begitu ganas mengejutkan ribuan orang. Ramai penduduk yang pulang dari kerja terperangkap dalam kenderaan mereka, manakala yang lain terperangkap di rumah, tempat kerja, restoran, atau pusat beli-belah, menunggu pasukan penyelamat dalam penuh ketakutan ketika paras air meningkat.
Kerajaan Valencia hanya menghantar amaran kecemasan ke telefon pada lewat Selasa malam, meminta orang ramai tinggal di dalam rumah atau mencari tempat tinggi, pada ketika itu kerosakan besar sudah berlaku.
Perkhidmatan kecemasan segera dibanjiri panggilan dan tidak dapat menghampiri kawasan yang paling teruk terjejas.
Selain tragedi manusia, ribut itu menyebabkan kerosakan yang tidak terkira terhadap infrastruktur.
Beribu-ribu isi rumah masih terputus bekalan elektrik atau air minuman dan terasing sepenuhnya akibat penutupan jalan raya dan landasan kereta api. - BERNAMA-ANADOLU
Berita berkaitan
July 30, 2025, 6:12 pm
Gempa bumi kuat, Rusia isytihar darurat
July 30, 2025, 1:17 pm
Gempa bumi kuat: Indonesia turut keluarkan amaran tsunami di 3 wilayah
July 30, 2025, 12:56 pm
Tsunami Jepun: Pekerja loji nuklear Fukushima dipindah, amaran meluas sekitar Pasifik
July 25, 2025, 11:06 am
Konflik Thailand-Kemboja: Lebih 100,000 dipindahkan, 14 terbunuh
July 24, 2025, 5:57 pm
9 terbunuh termasuk kanak-kanak dalam serangan artileri di sempadan Thailand-Kemboja
July 22, 2025, 8:28 am
Akhirnya, 'Sister Hong' dicekup polis
July 18, 2025, 9:17 am
Ribuan penduduk India, Pakistan dipindahkan, 180 terkorban akibat banjir monsun
July 17, 2025, 10:00 am