Berita Dunia
Terdapat keretakan dalam kepercayaan, bekas Menteri Pertahanan Israel letak jawatan dari Parlimen

BAITULMAQDIS 2 Jan - Bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, yang dipecat pada November selepas memimpin kempen tentera di Gaza selama lebih setahun, mengumumkan bahawa beliau akan meletakkan jawatan dari Parlimen.
Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, yang memecat Gallant menyatakan bahawa terdapat keretakan dalam kepercayaan berikutan perbezaan pendapat antara mereka dalam beberapa isu.
"Saya akan menyerahkan surat peletakan jawatan saya kepada Speaker Knesset," kata Gallant dalam satu kenyataan yang disiarkan di televisyen, semalam.
Beberapa minit kemudian, pejabat Gallant mengeluarkan gambar yang menunjukkan beliau menyerahkan peletakan jawatannya kepada Speaker Parlimen.
"Saya telah berkhidmat kepada negara selama 35 tahun dalam IDF (Tentera) dan sedekad dalam kerajaan dan Knesset... Ada masanya kita perlu berhenti seketika dan menilai semula arah tuju.
"Namun, saya berjanji untuk terus berkerja dengan segala tenaga untuk membawa pulang anak-anak kita yang diculik," kata Gallant.
Netanyahu dan Gallant berbeza pendapat dalam beberapa isu, terutamanya mengenai pengecualian lelaki Yahudi ultra-Ortodoks daripada perkhidmatan tentera.
Gallant merupakan penyokong utama supaya golongan ultra-Ortodoks (Haredim) dipanggil berkhidmat, namun Netanyahu mahu pengecualian mereka diteruskan, kerana bimbang pengambilan golongan itu akan memecah belahkan gabungan pemerintahannya yang bergantung kepada sokongan parti-parti berteraskan agama.
"Saya faham bahawa isu pengambilan Haredim bukan sekadar isu sosial. Ia, pertama sekali, adalah keperluan keselamatan dan ketenteraan," kata Gallant dalam kenyataannya pada Rabu.
"Oleh itu, saya bertindak untuk memastikan perkhidmatan tentera yang sama rata bagi semua yang diwajibkan untuk berkhidmat.
"Disebabkan penegasan saya untuk mengutamakan kepentingan Israel dan keperluan IDF, saya telah dipecat dari jawatan Menteri Pertahanan," katanya.
Gallant dan Netanyahu juga bertelagah mengenai cara Israel mengendalikan perang di Gaza selepas serangan mematikan oleh pejuang Hamas pada 7 Oktober 2023.
"Saya telah merangka arah tuju dan menentukan haluan yang membolehkan negara Israel mencapai kemenangan ketenteraan ke atas musuh-musuhnya dalam perang ini," kata Gallant.
"Sebagai bekas Menteri Pertahanan, saya bertanggungjawab atas segala yang berlaku dari awal penggal saya hingga ke akhir penggal, lebih setahun selepas perang bermula.
Pada November, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap untuk Netanyahu dan Gallant serta ketua tentera pejuang Hamas, Mohammed Deif, yang menurut tentera Israel telah dibunuh di Gaza. - AFP
Berita berkaitan
July 30, 2025, 6:12 pm
Gempa bumi kuat, Rusia isytihar darurat
July 30, 2025, 1:17 pm
Gempa bumi kuat: Indonesia turut keluarkan amaran tsunami di 3 wilayah
July 30, 2025, 12:56 pm
Tsunami Jepun: Pekerja loji nuklear Fukushima dipindah, amaran meluas sekitar Pasifik
July 25, 2025, 11:06 am
Konflik Thailand-Kemboja: Lebih 100,000 dipindahkan, 14 terbunuh
July 24, 2025, 5:57 pm
9 terbunuh termasuk kanak-kanak dalam serangan artileri di sempadan Thailand-Kemboja
July 22, 2025, 8:28 am
Akhirnya, 'Sister Hong' dicekup polis
July 18, 2025, 9:17 am
Ribuan penduduk India, Pakistan dipindahkan, 180 terkorban akibat banjir monsun
July 17, 2025, 10:00 am