TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Dunia

Hamas sahkan kematian komander tentera Mohammed Deif

By
|
Kongsi
image

GAZA 31 Jan. - Kumpulan pejuang Palestin, Hamas mengesahkan bahawa ketua komander tenteranya, Mohammed Deif, telah terbunuh.

Sebelum ini, tentera Israel mendakwa telah membunuh Deif dalam serangan udara pada Julai lalu, namun Hamas hanya mengesahkan perkara itu semalam.

Israel menuduh Deif sebagai antara perancang utama serangan ke atas selatan negara itu pada 7 Oktober, yang mengorbankan 1,200 orang serta mengakibatkan 251 individu dijadikan tebusan.

Di Gaza, Deif dikenali sebagai pemimpin kedua tertinggi Hamas selepas Yahya Sinwar. Sinwar, yang juga pemimpin utama kumpulan itu di wilayah berkenaan, telah terbunuh dalam serangan Israel tahun lalu.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebelum ini telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Deif, selain Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant.

Sepanjang kepimpinannya, Deif didakwa memainkan peranan penting dalam pembinaan terowong bawah tanah yang digunakan untuk memasuki Israel dari Gaza. Dia juga dikenali sebagai pencipta roket Qassam, senjata utama yang digunakan oleh Hamas.

Dalam kenyataan pada Khamis, Hamas turut mengesahkan kematian timbalan komander tenteranya, Marwan Issa.

Amerika Syarikat mengumumkan kematian Issa pada Mac tahun lalu. Issa dianggap sebagai antara individu paling dikehendaki Israel kerana peranannya dalam operasi ketenteraan Hamas.

Kesatuan Eropah yang meletakkan Hamas dalam senarai kumpulan pengganas turut menuduh Issa terlibat secara langsung dalam serangan pada 7 Oktober.

Serangan berterusan Israel selama 15 bulan telah meragut lebih 47,460 nyawa rakyat Palestin, menurut Kementerian Kesihatan Hamas di Gaza.

Sementara itu, gencatan senjata antara Hamas dan Israel mula berkuat kuasa pada 19 Januari, yang menyaksikan pembebasan 15 tebusan Israel setakat ini.

Dalam tempoh yang sama, seramai 400 tahanan Palestin telah dibebaskan, termasuk mereka yang menjalani hukuman panjang akibat serangan bom dan insiden lain, serta remaja yang ditahan tanpa sebarang pertuduhan. Kebanyakan mereka telah pulang ke Tebing Barat, Jerusalem Timur dan Gaza, manakala kira-kira 70 individu yang diklasifikasikan sebagai pesalah paling berbahaya telah dihantar ke luar wilayah. - Media Telus

+ - reset