TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerjasama PETRONAS-PETROVIETNAM dijangka dimeterai Mei ini

By
|
Kongsi
image

HANOI 26 Feb. - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berharap kerjasama antara Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dan Vietnam Oil and Gas Group (PETROVIETNAM) di kawasan sempadan maritim kedua-dua negara dapat dimeterai pada Mei ini.

Beliau menyatakan bahawa kerjasama yang membabitkan pelaburan bernilai berbilion ringgit itu berpotensi memberikan pulangan yang baik kepada Malaysia dan Vietnam.

"Kita akan selesaikan, maknanya perjanjian antara PETRONAS dan PETROVIETNAM diharap dapat dimeterai pada Mei ini," katanya kepada media Malaysia selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Masa Depan ASEAN (ASEAN Future Forum) kedua, yang dianjurkan oleh Kementerian Luar Vietnam di sini, hari ini.

Turut hadir dalam forum dua hari itu ialah Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh, Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon, serta Presiden Timor-Leste, Jose Ramos Horta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, juga menyertai delegasi lawatan kerja dua hari Perdana Menteri ke Vietnam dan menghadiri mesyuarat bersama sarapan (breakfast meeting) dengan delegasi Vietnam.

Kerjasama Tenaga dan Grid ASEAN

Terdahulu, dalam satu hantaran di Facebook, Anwar berkata PETRONAS dan PETROVIETNAM akan mempercepatkan kerjasama dalam sektor tenaga di Vietnam, termasuk aktiviti huluan dan hiliran, gas, serta tenaga boleh baharu.

Beliau turut memaklumkan bahawa syarikat minyak kedua-dua negara sedang menggerakkan usaha ke arah kerjasama dalam penjanaan kuasa dan sambungan grid tenaga antara Vietnam dan Malaysia, dengan fokus kepada tenaga boleh baharu.

Dalam sidang medianya, Anwar tidak menolak kemungkinan bahawa inisiatif Grid Tenaga ASEAN turut merangkumi selatan Filipina.

"Grid Tenaga ASEAN sepatutnya dirancang dari Vietnam, sama ada melalui dasar laut Kelantan terus ke selatan ataupun melalui darat ke Kemboja, Laos, Thailand, dan Semenanjung Malaysia sebelum ke Singapura serta rangkaiannya ke Indonesia, Sarawak dan Sabah—dan mungkin sehingga ke selatan Filipina. Oleh itu, hubungan kita dengan Vietnam adalah amat penting," katanya.

Peningkatan Dagangan Malaysia-Vietnam

Dagangan antara Malaysia dan Vietnam pada 2024 meningkat sebanyak 4.4 peratus kepada AS$18.14 bilion (RM83.11 bilion), berbanding AS$17.38 bilion pada tahun sebelumnya.

Vietnam merupakan rakan dagang ke-11 terbesar Malaysia pada tahun ini, menyumbang 2.9 peratus daripada jumlah perdagangan negara. Negara itu juga merupakan destinasi eksport ke-10 terbesar Malaysia dengan sumbangan sebanyak 3.6 peratus, selain menjadi sumber import ke-13 terbesar atau 2.1 peratus daripada import Malaysia. - Media Telus

+ - reset