Berita Dunia
Ribuan rakyat AS mulakan protes tolak dasar Trump, desak pertahankan demokrasi
WASHINGTON 6 April– Ribuan rakyat Amerika Syarikat (AS) turun ke jalan pada Sabtu bagi menyuarakan bantahan terhadap dasar-dasar kontroversi Presiden Donald Trump, menurut laporan Agensi Berita Jerman (dpa).
Di ibu negara Washington, ribuan penunjuk perasaan berkumpul di sekitar Monumen Washington berhampiran Rumah Putih, membawa sepanduk dengan mesej mendesak pihak berkuasa menjunjung perlembagaan serta menuntut pemecatan Trump daripada jawatan presiden.
Antara slogan yang kelihatan termasuk "Hands off democracy" dan "Stop the coup".
Lebih 1,000 siri perhimpunan dianjurkan secara serentak di kesemua 50 negeri oleh gabungan pelbagai pertubuhan masyarakat.
Pihak penganjur menjangkakan lebih 250,000 orang menyertai protes di seluruh negara, namun jumlah sebenar masih belum dapat dipastikan kerana lokasi demonstrasi berlangsung serentak.
Di New York, ribuan turut berarak sambil menzahirkan penentangan terhadap Trump dan penasihat rapatnya, Elon Musk – tokoh korporat dan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla. Protes serupa turut berlaku di bandar-bandar utama lain seperti Atlanta, Boston, Miami dan Charlotte.
Sejak kembali menerajui pentadbiran, Trump dikatakan menjalankan rombakan besar-besaran ke atas struktur kerajaan persekutuan dengan bantuan Musk, termasuk pemecatan sejumlah besar pegawai kerajaan dan pembubaran beberapa agensi utama seperti Jabatan Pendidikan.
Langkah radikal itu mencetuskan kebimbangan dalam dan luar negara, dengan ramai melihat pendekatan Trump sebagai satu ancaman terhadap sistem demokrasi.
Golongan Demokrat dan penganalisis politik turut melabelkan pentadbiran semasa sebagai bersifat autoritarian dan tidak selari dengan prinsip asas pemerintahan demokratik.
Berita berkaitan
October 29, 2025, 12:45 pm
Israel langgar gencatan senjata, Gaza kembali berdarah
October 28, 2025, 3:24 pm
Katy Perry, Justin Trudeau sahkan hubungan cinta secara terbuka di Paris
October 28, 2025, 10:56 am
Israel dilanda wabak maut terburuk, catat 5,000 kes dengan 8 kematian
October 21, 2025, 4:02 pm
Terima sokongan majoriti, Sanae Takaichi dilantik Perdana Menteri Wanita pertama Jepun
October 16, 2025, 12:09 pm
Trump pertimbang arah Israel serang semula Gaza jika Hamas langgar gencatan senjata
October 11, 2025, 11:47 am
AS kenakan tarif 100 peratus ke atas import China mulai 1 November — Trump
October 11, 2025, 10:19 am
Israel tarik balik tentera, perang di Gaza berakhir — Rakyat Palestin mula pulang ke rumah
October 9, 2025, 10:48 am
Israel, Hamas setuju laksana fasa pertama pelan damai Trump bagi Gaza
October 7, 2025, 9:14 am
Greta Thunberg selamat tiba di Greece selepas dibebaskan dari tahanan Israel
October 6, 2025, 9:43 am
