Berita Sukan
JDT terus dominasi bola sepak negara, catat musim 2024–2025 penuh gemilang
JOHOR BAHRU 15 April - Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) terus membuktikan keunggulan dalam arena bola sepak tanah air apabila mencatatkan musim 2024–2025 yang luar biasa, mencakupi kejayaan pasukan senior, skuad pembangunan, serta pasukan futsal mereka.
Untuk musim ini, skuad Harimau Selatan meneruskan dominasi di pentas Liga Malaysia dengan merangkul kejuaraan Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut. Kejayaan itu dilengkapkan dengan kejayaan mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih dan Piala FA, menjadikan koleksi trofi mereka pada musim ini semakin gah.
Di arena futsal, JDT turut mencatat pencapaian membanggakan apabila muncul juara Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) serta Piala Futsal Malaysia, menunjukkan betapa luas dan tersusunnya struktur pembangunan sukan mereka.
Kejayaan JDT turut menyerlah di peringkat akar umbi dan pembangunan. Pasukan JDT II menjuarai Piala MFL, manakala skuad JDT III dan JDT IV masing-masing muncul juara Piala Presiden dan Piala Belia. Sumbangan golongan muda ini membuktikan bahawa kejayaan Harimau Selatan bukan sekadar hasil kekuatan barisan utama, tetapi juga hasil kerja keras dan sistem pembangunan bakat jangka panjang.
Lebih membanggakan, pasukan Bawah 17 Tahun (B-17) JDT memenangi Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) serta Liga Piala Remaja KPM-FAM. Skuad B-15 pula melakar pencapaian cemerlang apabila merangkul tiga kejuaraan — Kejohanan Remaja La Liga, Liga Remaja Singapura dan kejayaan berganda di pentas MSSM.
Momentum kejayaan diteruskan oleh skuad B-14 yang berjaya menjulang Piala Supermokh, manakala pasukan JDT B-13 menawan Liga Remaja Singapura. Skuad termuda mereka, JDT B-12, turut mencipta nama di pentas antarabangsa dengan memenangi Kejohanan Remaja La Liga.
Mengulas kejayaan luar biasa ini, pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menzahirkan rasa bangga dan menyifatkan pencapaian itu sebagai hasil usaha perancangan rapi, struktur profesional, serta komitmen jitu dalam pembangunan bola sepak dari peringkat akar umbi sehingga ke peringkat antarabangsa.
“Apabila kepala betul, ekor pun betul. Kejayaan berterusan sepanjang 12 tahun di dalam dan luar padang,” titah baginda dalam satu hantaran di laman rasmi Johor Southern Tigers.
“Kejuaraan dari pasukan senior hingga pasukan-pasukan junior, kejayaan di peringkat antarabangsa dan domestik, infrastruktur, dan pembangunan pemain muda. Rekod-rekod dan fakta yang tidak boleh dipertikaikan,” tambah baginda lagi.
JDT kini berada di ambang untuk melengkapkan musim penuh kejuaraan apabila bakal berdepan Sri Pahang FC dalam perlawanan akhir Piala Malaysia yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 April ini.
Sekiranya JDT berjaya menewaskan Sri Pahang dalam perlawanan akhir itu, ia akan mengukuhkan lagi status mereka sebagai kuasa besar bola sepak negara dan penanda aras dalam pengurusan kelab bola sepak profesional di Malaysia. - Media Telus
Berita berkaitan
October 29, 2025, 11:26 am
Wan Rohaimi puas hati prestasi Penang FC walau tewas kepada JDT
October 27, 2025, 10:01 am
Mentaliti juara kunci JDT benam DPMM FC 10-0 – Xisco Munoz
October 26, 2025, 11:55 am
TMJ tegaskan kritikan terhadap dirinya dalam bola sepak bukan perkara baharu
October 21, 2025, 10:50 am
JDT sasar kemenangan pertama bertemu Chengdu Rongcheng dalam aksi ACLE
October 10, 2025, 7:32 am
Harimau Malaya benam Laos 3-0, kekal rekod sempurna
October 7, 2025, 11:43 am
FAM perlu jelaskan isu pendedahan FIFA segera – Hannah Yeoh
October 7, 2025, 8:59 am
FAM anggap laporan FIFA tidak tepat, akan kemuka rayuan rasmi
October 7, 2025, 8:50 am
FIFA kemuka bukti dokumen palsu dalam pendaftaran tujuh pemain warisan Malaysia
October 1, 2025, 3:04 pm
Ultras Malaya tuntut FAM dedah maklumat pemain warisan digantung Fifa
October 1, 2025, 1:33 pm
