Berita Sukan
Hampir muflis punca Perak FC terkubur
IPOH 26 April - Masa depan Perak FC dalam kancah Liga Malaysia akhirnya terjawab apabila Pengerusi kelab, Datuk Seri Azim Zabidi, mengesahkan bahawa skuad The Bos Gaurus tidak akan beraksi pada musim 2025/2026 berikutan masalah kewangan yang semakin meruncing.
Azim berkata, keputusan sukar itu terpaksa diambil selepas kelab berdepan kekangan kewangan yang amat kritikal.
"Ya betul, kita akan menarik diri. Kita tiada jalan lain. Kita cuba cari pelabur baharu, namun bukan mudah dalam keadaan sekarang.
"Kita hampir di ambang muflis. Duit memang sudah tiada. Kalau nak perah darah dari batu pun lebih mudah," katanya.
Spekulasi mengenai masa depan Perak FC bertambah hangat apabila penjaga gol pasukan, Haziq Nadzli, sebelum ini memuat naik hantaran di media sosial yang memberi bayangan operasi kelab bakal dihentikan.
Azim turut mendedahkan bahawa Perak FC hanya mampu menawarkan pembayaran 20 peratus daripada tunggakan gaji selama enam setengah bulan kepada pemain-pemain, namun tawaran itu ditolak.
"Itu sahaja yang mampu kami tawarkan. Kalau duit tidak ada, memang tidak ada. Walau macam mana sekali pun, kita tidak boleh mencipta duit yang tiada.
"Mereka meminta supaya kami mempertimbangkan bayaran pada kadar lebih tinggi. Saya kata saya akan cuba, namun realitinya, ini sahaja wang yang ada dalam akaun kelab," katanya.
Untuk mencari dana tambahan, Azim mencadangkan semua cenderamata dan barangan rasmi (merchandise) kelab dijual bagi melunaskan sebahagian tunggakan kepada pemain.
"Kita memang berusaha untuk membayar. Bukan kami cuba melarikan diri daripada tanggungjawab," tambahnya.
Mengenai kemungkinan kelab dijual, Azim menjelaskan bahawa pihaknya terbuka untuk berbincang, termasuk jika ada pihak berminat membeli pada harga simbolik RM1 atau diberikan secara percuma. - Media Telus
Berita berkaitan
December 17, 2025, 6:33 pm
Sukan SEA: Miki Ghazali tumpaskan Thailand, hadiahkan emas buat negara acara Muay Thai 57kg
December 17, 2025, 1:31 pm
FIFA isytihar Malaysia kalah 3-0 dalam tiga perlawanan antarabangsa tier 1
December 15, 2025, 10:42 am
Media Thailand terkejut dominasi sepak takraw regu berpasukan berakhir, Malaysia raih emas bersejarah
December 15, 2025, 10:29 am
Kem badminton negara masih perlukan Rexy Mainaky – Tengku Zafrul
December 13, 2025, 11:45 am
Ketiadaan Figueiredo jejaskan jentera serangan JDT jelang final Piala FA
December 10, 2025, 2:01 pm
Kemboja tarik diri daripada Sukan SEA susulan konflik dengan Thailand
December 10, 2025, 11:38 am
Xisco bangga prestasi JDT walau terikat tanpa jaringan dengan Shanghai Port FC
December 8, 2025, 8:24 pm
JDT sedia buat Shanghai Port ‘merana’ di SSI
December 2, 2025, 9:30 am
FIFPro kecam hukuman FIFA terhadap tujuh pemain warisan, anggap terlalu keterlaluan
December 1, 2025, 11:49 am
