TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Polis tumpas sindiket loteri tanpa lesen, rampas wang tunai RM110,119 di Ipoh

By
|
Kongsi
image

IPOH 28 April – Polis menahan empat individu termasuk seorang wanita serta merampas peralatan yang disyaki digunakan untuk penjualan loteri awam tanpa lesen dalam tiga serbuan berasingan di sini semalam.

Tangkapan terhadap suspek berusia antara 40 hingga 70 tahun itu dijalankan oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bersama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, hasil serbuan tersebut, beberapa peralatan berjaya dirampas termasuk mesin pencetak, dua set komputer, lima unit telefon bimbit, router, empat keping kad kredit, empat buku catitan, 10 keping slip loteri awam dan wang tunai berjumlah RM110,119.

Katanya, siasatan awal mendapati sindiket itu telah beroperasi di daerah ini sejak awal tahun 2020 dan kesemua suspek adalah ejen judi yang terlibat secara langsung dengan penganjur.

“Ejen-ejen ini menjalankan kegiatan secara ‘mobile’ bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan menggunakan rumah sebagai pusat pengiraan atau ‘counting center’ wang hasil loteri tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, tiga lokasi serbuan itu mampu menghasilkan kutipan sehingga RM5 juta sebulan, manakala setiap ejen diberikan nilai kredit dalam ‘pool’ sebanyak RM4 juta setiap bulan oleh penganjur sebagai had pertaruhan loteri awam tanpa lesen.

Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. 

+ - reset