TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Suspek pecah rumah ditahan, warga emas rugi lebih RM300,000

By
|
Kongsi
image

BACHOK 2 Mei – Seorang lelaki berusia 49 tahun ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes pecah rumah melibatkan kerugian barangan kemas melebihi RM300,000 milik seorang warga emas di Kampung Pengkalan Kasim, Beris Kubor Besar, di sini.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin memaklumkan, suspek yang juga penduduk sekampung mangsa ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Tok Belian Beris, Tawang kira-kira jam 1.20 pagi semalam.

“Siasatan awal mendapati suspek bekerja sebagai jurukimpal dan disyaki terlibat dalam kejadian pecah rumah milik Mek Som @ Nisah Omar, 77, yang berlaku pada 29 April lalu,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut beliau, walaupun ujian air kencing suspek menunjukkan keputusan negatif dadah, semakan rekod lampau mendedahkan suspek mempunyai lima kes berkaitan dadah dan jenayah.

“Antara kesalahan lampau termasuk dua kes di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB), satu kes di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB serta dua kes di bawah Seksyen 456 dan 457 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan lanjut di bawah Op Pintu/Op Cantas mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian Selasa lalu, Mek Som mengalami kerugian besar apabila barangan kemas yang disimpan dalam beg pinggang didapati hilang selepas beliau pulang daripada mengaji di Masjid Pengkalan Chengal sekitar jam 12.30 tengah hari.

Mangsa memaklumkan tiada kesan umpil pada pintu rumahnya, namun keadaan bilik tidur didapati berselerak dan beg berisi barang kemas telah lesap. - Media Telus

+ - reset