TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MCMC siasat pempengaruh media sosial sebar maklumat palsu, dedah data peribadi

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 28 April - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menyiasat seorang pempengaruh media sosial yang didakwa terbabit dalam penyebaran maklumat palsu serta pendedahan maklumat peribadi tanpa kebenaran.

Dalam satu kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan siasatan dilakukan mengikut peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) susulan aduan yang diterima daripada orang awam.

Menurut MCMC, dua sesi rakaman percakapan dan siasatan lanjut telah dijalankan di ibu pejabat MCMC di Cyberjaya pada Jumaat lalu dan hari ini.

“Siasatan awal mendapati kandungan yang dikaitkan dengan pempengaruh berkenaan membabitkan penyebaran maklumat palsu yang mengaitkan institusi diraja dengan dakwaan tidak berasas, selain cubaan mendedahkan maklumat peribadi individu tanpa kebenaran dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu mana-mana orang,” kata kenyataan itu.

MCMC menambah, tindakan tersebut berpotensi mencetuskan kegusaran awam, menyemarakkan fitnah, serta mengundang ancaman keselamatan terhadap individu terbabit selain melanggar undang-undang komunikasi dan perlindungan data peribadi.

Hari ini, media turut melaporkan bahawa seorang pempengaruh hadir ke ibu pejabat MCMC untuk memberi keterangan, dipercayai berhubung kenyataan berkaitan seorang pemimpin politik yang dimuat naik di media sosial.

Mengulas lanjut, MCMC menegaskan bahawa semua aduan akan disiasat secara profesional tanpa mengira status, populariti atau pengaruh individu berkenaan, dan setiap siasatan dijalankan secara adil mengikut peruntukan undang-undang.

Dalam masa sama, MCMC mengingatkan orang ramai bahawa sebarang penyebaran kandungan berkaitan isu agama, kaum dan institusi diraja (3R), atau kandungan berunsur ancaman, gangguan serta pencerobohan privasi adalah kesalahan serius yang boleh dikenakan tindakan tegas. - Media Telus

+ - reset