TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Graduan TVET terus laku, lebih 17,000 graduan dapat kerja melalui MYFutureJobs – Steven Sim

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 29 April – Seramai 17,335 graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berjaya memperoleh pekerjaan melalui portal MYFutureJobs dari Januari hingga 4 April lalu, mencerminkan usaha berterusan kerajaan memperkasa laluan kerjaya teknikal dalam kalangan belia.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, sepanjang tahun lalu sebanyak 99,315 penempatan pekerjaan berkaitan TVET direkodkan menerusi portal tersebut.

"Dari segi ketersediaan peluang, sebanyak 230,817 kekosongan jawatan berkaitan TVET diiklankan melalui MYFutureJobs dari Januari hingga 18 April lalu.

"Jumlah itu mewakili lebih 51 peratus daripada keseluruhan 445,875 kekosongan jawatan yang ditawarkan dalam tempoh sama," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Kerjaya Mega MYFutureJobs @Hari Pekerja 2025 di Pekarangan Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Azman Mohd Yusof; Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Sri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Mengulas lanjut, Sim berkata, sebanyak 700,474 kekosongan jawatan berkaitan TVET diiklankan melalui portal MYFutureJobs pada tahun lalu, memperlihatkan permintaan tinggi terhadap tenaga kerja berkemahiran.

"Antara sektor utama yang menawarkan peluang pekerjaan kepada graduan TVET ialah sektor pembuatan, perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor, serta pengangkutan dan penyimpanan.

"Jumlah graduan TVET yang dilahirkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) bagi tempoh 2013 hingga 2024 adalah seramai 93,904 orang," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai Statistik Siswazah 2023 terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang merekodkan 32.4 peratus daripada keseluruhan graduan bekerja dalam jawatan yang tidak sepadan dengan kelayakan atau kemahiran mereka.

"Daripada penelitian menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), tiga sektor utama yang didapati paling tinggi berlaku ketidakpadanan kerja dalam kalangan graduan ialah di sektor pentadbiran awam, pengeluaran serta borong dan peruncitan.

"Isu 'underemployment' atau guna tenaga tidak penuh itu bukan isu remeh kerana ia bukan sekadar membabitkan karamah insaniah graduan, tetapi negara terlepas peluang untuk menggunakan sepenuhnya ilmu dan kemahiran graduan di Malaysia.

"Justeru, Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) menawarkan latihan untuk meningkatkan kemahiran graduan, sekali gus memacu kebolehpasaran serta perkembangan kerjaya generasi pelapis negara kita," katanya.

Sementara itu, berhubung Ekspo Kerjaya Mega MYFutureJobs, Sim berkata, acara yang berlangsung selama empat hari hingga 1 Mei di Axiata Arena itu menawarkan 10,000 peluang pekerjaan, selain temu duga serentak di pejabat PERKESO di 12 negeri dengan menyediakan 1,379 kekosongan jawatan.

Beliau berkata, edisi kali ini menyaksikan penyertaan majikan meningkat 53.4 peratus kepada 158 majikan berbanding tahun lalu, manakala jumlah kekosongan jawatan yang ditawarkan turut melonjak 21.6 peratus kepada 11,379 peluang pekerjaan pada sambutan Hari Pekerja tahun ini.

"Untuk rekod, MYFutureJobs mengiklankan hampir 1.9 juta jawatan kosong sejak tahun lalu hingga empat bulan pertama tahun ini.

"Bertemakan 'Pekerja Kesuma Bangsa', ekspo ini akan mengiktiraf peranan penting pekerja dalam ekonomi negara dengan menawarkan lebih 10,000 kekosongan jawatan."

Katanya, purata gaji ditawarkan dalam ekspo kali ini ialah antara RM2,500 hingga RM3,000 dengan gaji maksimum mencecah RM15,000, manakala sektor terbesar yang mengambil bahagian meliputi perkhidmatan dan teknologi maklumat, pembuatan dan peruncitan.

+ - reset