TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bebas saja tak cukup, SPRM perlu sokongan, kepercayaan rakyat - Azam Baki

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 29 April - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menekankan bahawa kebebasan institusi dalam memerangi rasuah bukan sekadar bermaksud bebas daripada campur tangan, sebaliknya perlu disokong dengan kepercayaan awam dan sistem akauntabiliti yang kukuh.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya sentiasa berpegang kepada prinsip yang digariskan dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC), khususnya Artikel 36 yang menuntut penubuhan agensi antirasuah yang bebas dan profesional.

"Pengalaman kami menunjukkan bahawa kebebasan institusi mesti disertai dengan akauntabiliti dan kepercayaan awam.

"Bebas daripada campur tangan sahaja tidak mencukupi, kami juga mesti mendapat kepercayaan daripada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Persidangan Anti Rasuah Asia Tenggara: *Recalling Jakarta Statement 2025* yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Selasa.

Azam turut menekankan bahawa pelaksanaan prinsip-prinsip UNCAC turut berpaksikan kepada Pernyataan Jakarta, yang menjadi panduan utama dalam menjamin kebebasan operasi, autonomi dan ketelusan agensi antirasuah.

"SPRM telah menerima pakai prinsip ini bukan sekadar dari segi bentuk, tetapi juga dalam pelaksanaan melalui lima jawatankuasa pemantau bebas yang memastikan agensi kekal bertanggungjawab kepada rakyat, namun bebas daripada sebarang campur tangan," kata beliau.

Beliau turut menggariskan bahawa cabaran dalam membanteras rasuah masa kini semakin kompleks dengan kewujudan jenayah siber dan kewangan rentas sempadan, justeru memerlukan kerjasama serantau dan inovasi teknologi.

Katanya, SPRM terus komited memperkukuh pendekatan tersebut melalui reformasi perundangan, pembangunan kapasiti, pengukuhan kerjasama antarabangsa serta penerapan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI) dan rantaian blok (blockchain) dalam membanteras jenayah kewangan yang kian sofistikated.

"SPRM juga menjunjung gagasan Malaysia Madani dengan menekankan nilai integriti, akauntabiliti dan keadilan sosial dalam tadbir urus negara," jelasnya.

Mengulas lanjut, Azam menyifatkan persidangan ini sebagai sangat signifikan bertepatan dengan peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN.

"Sebagai sebahagian daripada komitmen serantau, Malaysia menerusi SPRM akan menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Ketua-Ketua ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) ke-21 pada Oktober 2025," ujarnya.

 

+ - reset