TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki baru mula bekerja maut kepala tersepit mesin acuan di kilang

By
|
Kongsi
image

KLANG 30 April – Seorang pekerja warga asing yang baru memulakan tugas maut selepas tersepit dalam mesin 'blow moulding' ketika melakukan kerja pembersihan di sebuah kilang berhampiran Pelabuhan Klang, semalam.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor berkata, kejadian tragis itu berlaku kira-kira jam 7.35 pagi dan siasatan di lokasi kejadian telah dijalankan sejurus selepas insiden berlaku.

"Siasatan awal mendapati mangsa merupakan pekerja baharu dan ditugaskan untuk kerja pembersihan di bahagian pengeluaran kilang.

"Ketika kejadian, pekerja itu cuba mengeluarkan botol plastik yang tersangkut di bahagian dalam mesin dengan membuka pintu mesin sebelum komponen mesin tersebut bergerak dan menghimpit kepalanya.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

JKKP Selangor turut memaklumkan bahawa mereka telah mengeluarkan Surat Arahan Larangan Kacau Ganggu di kawasan kejadian sehingga siasatan selesai sepenuhnya.

Selain itu, dua notis larangan juga telah dikeluarkan kerana majikan didapati gagal menyediakan prosedur kerja yang sepatutnya bagi aktiviti pembersihan dan penyelenggaraan mesin.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca-punca dan pihak yang bertanggungjawab ke atas kemalangan tersebut.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994," katanya.

+ - reset