TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Datuk direman semula kes tuntutan palsu RM450 juta libatkan projek lebuh raya

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 6 Mei - Seorang lelaki bergelar Datuk yang baru dibebaskan daripada tahanan reman Sabtu lalu, sekali lagi direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes tuntutan mengandungi butiran palsu bernilai kira-kira RM450 juta.

Suspek berusia 60-an itu ditahan bersama seorang lagi lelaki berusia 50-an ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, kira-kira jam 7 malam kelmarin.

Perintah reman terhadap kedua-duanya dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya, Siti Roslizawati Mohd Zanin, semalam.

Datuk terbabit direman selama dua hari hingga hari ini, manakala seorang lagi suspek direman lima hari hingga 9 Mei ini.

Menurut sumber SPRM, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki mengemukakan tuntutan palsu menggunakan dana sukuk dan kemudahan kewangan dari sebuah pejabat wilayah untuk projek pembinaan lebuh raya bernilai kira-kira RM1.3 bilion di Lembah Klang.

"Tangkapan ini adalah susulan siasatan kes sebelum ini membabitkan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM360 juta. Jumlah keseluruhan tuntutan palsu yang dikesan kini mencecah sekitar RM800 juta," katanya.

Setakat ini, lima individu telah ditahan reman berkaitan kes ini, dengan empat daripadanya sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM minggu lalu.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus, mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

+ - reset