TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kuasa AMLA wajar diperkukuh, bendung penipuan pelaburan berbilion ringgit – Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 6 Mei – Jenayah penipuan pelaburan dalam talian yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit kini memerlukan tindak balas lebih tegas dan strategik.

Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasaan lain untuk mengaktifkan penggunaan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) secara lebih efektif dan agresif.

Gesaan itu dibuat susulan pendedahan laporan muka depan akhbar The Star pada 4 Mei lalu bertajuk “Business owner duped in RM1.8mil online investment scam”, yang menceritakan bagaimana seorang usahawan menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian melibatkan kerugian RM1.8 juta.

Menurut Dzulkifli, kes seumpama itu bukan lagi terpencil, malah semakin kerap berlaku dan mengakibatkan kerugian besar kepada rakyat. Justeru, katanya, sudah tiba masanya pendekatan penguatkuasaan dikaji semula dan ditingkatkan.

“Sudah tiba masanya agensi penguatkuasaan seperti PDRM menggunakan kuasa di bawah AMLA dengan lebih efektif dan agresif. Fokus utama bukan hanya menangkap pelaku, itupun sekiranya siasatan benar-benar dilakukan, tetapi mesti mengesan aliran dana haram tersebut dan mendapatkan semula wang yang telah dicuri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Tambah beliau, pendekatan konvensional yang hanya memfokuskan kepada penangkapan tidak lagi memadai, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan sindiket rentas sempadan dan penggunaan akaun keldai.

Dzulkifli menegaskan, AMLA menyediakan ruang untuk agensi penyiasat bukan sahaja bertindak terhadap pelaku, tetapi juga membekukan, menyita serta melucutkan hak hasil daripada kegiatan haram – aspek yang perlu diberi penekanan dalam usaha mendapatkan semula wang mangsa.

“Fokus utama bukan hanya menangkap pelaku… tetapi mesti mengesan aliran dana haram tersebut dan mendapatkan semula wang yang telah dicuri,” tegasnya lagi.

Sebagai individu yang terus aktif dalam memerangi jenayah kewangan, Tan Sri Dzulkifli Ahmad kini menerajui Amlac Academy sebagai Presiden dan pengasas. Akademi ini menawarkan Diploma Profesional dalam Pengurusan Anti-Rasuah Korporat dan berperanan memperkukuh pemahaman serta keupayaan profesional dalam bidang tadbir urus dan pematuhan undang-undang.

Amlac Academy turut menjadi platform untuk mendidik masyarakat serta sektor korporat mengenai pentingnya integriti dan strategi pematuhan dalam menangani jenayah kewangan yang semakin kompleks.

 

+ - reset