Berita Berita
Penggunaan pengangkutan awam di Malaysia masih rendah - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR 14 Mei - Kadar penggunaan pengangkutan awam di Malaysia masih berada pada tahap rendah iaitu sekitar 25 peratus, jauh ketinggalan berbanding negara-negara maju, menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau memaklumkan bahawa kadar penggunaan pengangkutan awam di Singapura mencecah 67 peratus, Seoul 63 peratus, manakala Tokyo mencatatkan kadar tertinggi iaitu 73 peratus.
"Perubahan ke arah peningkatan penggunaan pengangkutan awam memerlukan anjakan sikap yang hanya dapat dicapai melalui kombinasi sistem yang boleh dipercayai dan kempen kesedaran yang menyeluruh," katanya.
Beliau menegaskan bahawa sistem pengangkutan awam yang efisien bukan sahaja memudahkan pergerakan harian rakyat, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial dan mobiliti yang inklusif, sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar.
Terdahulu, Ahmad Zahid menerima kunjungan hormat daripada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad, Mohd Azharuddin Mat Sah di pejabatnya di Putrajaya.
Dalam pertemuan itu, beliau turut menyentuh isu kepadatan kenderaan di negara ini, yang menurutnya semakin membimbangkan. Sehingga hujung tahun 2024, sebanyak 38.7 juta kenderaan telah didaftarkan di Malaysia, bersamaan 727 kenderaan bagi setiap 1,000 penduduk.
"Jumlah ini melebihi populasi negara yang hanya sekitar 34.1 juta orang, dan angka ini dijangka terus meningkat, didorong oleh jualan kenderaan baharu yang mencecah 816,747 unit – tertinggi dalam sejarah negara," katanya.
Menurut beliau, trend ini bukan sahaja memberi tekanan kepada infrastruktur sedia ada, malah meningkatkan risiko keselamatan jalan raya serta menjejaskan kualiti hidup rakyat.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid menyatakan keyakinan bahawa usaha berterusan oleh agensi seperti Prasarana, dengan sokongan padu daripada semua pemegang taruh, mampu merealisasikan masa depan sistem pengangkutan awam negara yang lebih mesra pengguna, mampan dan efisien.
“Insya-Allah, kita akan dapat keluar daripada belenggu kesesakan dan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian,” tambahnya. - Media Telus
Berita berkaitan
May 14, 2025, 4:36 pm
Lelaki hanyut dua hari bersama rakit di Sungai Kelantan ditemui dalam keadaan lemah
May 14, 2025, 4:23 pm
Hospital Putrajaya, HKL tersenarai dalam 50 hospital terbaik dunia
May 14, 2025, 4:16 pm
Kementerian Pengangkutan diberi tempoh sebulan lengkapkan laporan nahas FRU
May 14, 2025, 4:10 pm
Remaja memandu melulu sebabkan 5 maut dibebaskan dengan jaminan RM5,000
May 14, 2025, 3:49 pm
Polis akan ambil keterangan anak Datin Seri Pamela di Singapura
May 14, 2025, 3:44 pm
Nurul Izzah nafi berselisih faham dengan Hassan Karim
May 14, 2025, 3:39 pm
Perlis haramkan penjualan vape bermula 1 Ogos
May 14, 2025, 3:38 pm
PDRM pertimbang langkah keselamatan baharu selepas tragedi FRU
May 14, 2025, 3:22 pm