TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Jangan tahu bantah saja' - Aminuddin cadang NGO, pecinta haiwan jaga anjing liar

By
|
Kongsi
image

 

 

SEREMBAN 14 Mei – Golongan pencinta haiwan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantah kaedah pelupusan anjing liar di Negeri Sembilan disarankan agar bertindak lebih konstruktif dengan membantu mengadopsi haiwan terbabit, bukannya sekadar mengadakan bantahan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan bahawa proses pelupusan anjing liar yang dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan tetap mematuhi undang-undang dan prosedur yang ditetapkan.

"Kita sudah tegaskan bahawa pelupusan anjing ini akan mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan. Jika mengikut prosedur operasi standard (SOP), anjing-anjing ini akan disimpan selama beberapa hari selepas ditangkap.

"Dalam tempoh itu, NGO atau individu yang mahu membantu boleh mengambil dan memelihara anjing ini di rumah atau tempat masing-masing.

"Jadi, tidak timbul isu bahawa anjing ini akan ditembak atau dilupuskan begitu saja kerana ada SOP yang perlu dipatuhi," katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Kebitaraan Akademik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Klana Resort, semalam.

Beliau turut menegaskan bahawa dasar berkenaan akan terus dilaksanakan susulan sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang diperoleh semasa sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

Langkah itu, katanya, diambil berdasarkan keperluan untuk menjamin keselamatan awam, memandangkan jumlah aduan mengenai ancaman anjing liar terus meningkat.

"Dalam perkara ini, kerajaan negeri perlu bersikap adil dalam menyelesaikan aduan, terutama apabila berlaku kes serangan oleh anjing liar sehingga menyebabkan kecederaan.

"Ketika kejadian berlaku, tiada NGO atau pencinta haiwan berkenaan yang tampil memberikan bantuan," ujarnya lagi.

+ - reset