TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Sarjan tentera direman tujuh hari disyaki cabul pelajar MRSM

By
|
Kongsi
image

Melaka 14 Mei - Seorang anggota tentera berpangkat sarjan direman selama tujuh hari bermula hari ini oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mencabul seorang pelajar sekolah berasrama penuh, minggu lalu.

Perintah reman terhadap suspek berusia 32 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Dr Teoh Shu Yee, dan akan berkuat kuasa sehingga 20 Mei ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.

Menurut sumber, kejadian terbongkar apabila ibu mangsa, seorang suri rumah berusia 33 tahun, menemui perbualan mencurigakan antara anak perempuannya dan suspek ketika memeriksa telefon bimbit anaknya di rumah mereka di Taman Ayer Molek Perdana, Kuala Sungai Baru, Sabtu lalu.

Mangsa, seorang pelajar Tingkatan Satu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Melaka, kemudian mengaku mengenali suspek yang juga jiran mereka dan telah beberapa kali keluar bersamanya. Dalam satu kejadian, suspek didakwa memegang paha dan badan mangsa ketika mereka berada di dalam kereta di kawasan sekitar pekan Alor Gajah.

Ibu mangsa segera membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Sungai Baru dan membawa anaknya ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut.

Hasil siasatan mendapati, suami pengadu juga merupakan anggota tentera berpangkat koperal yang bertugas di Kem Terendak.

Sumber turut memaklumkan bahawa pada 4 Mei lalu, suspek telah mengambil mangsa dari asrama sekitar jam 11 pagi selepas diberi kebenaran keluar, sebelum membawa mangsa bersiar-siar dan didakwa melakukan perbuatan cabul di dalam kenderaannya.

"Suspek dipercayai telah meraba bahagian sensitif mangsa beberapa kali sebelum menghantarnya ke sebuah restoran dan kemudian pulang ke asrama," kata sumber.

Suspek telah ditahan pada jam 6.30 petang semalam di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka. - Media Telus

+ - reset