TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Nahas maut FRU: Lori dipandu laju, jalan sempit, kurang infrastruktur didakwa punca kemalangan

By
|
Kongsi
image

Teluk Intan 14 Mei - Jalan Chikus-Sungai Lampam dikenal pasti sebagai lokasi kerap berlakunya kemalangan maut, dipercayai berpunca daripada keadaan jalan yang sempit dan ketiadaan lampu isyarat, menurut penduduk setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Sungai Lampam Kanan, Mohammed Nadzri Mat Taib berkata, keadaan menjadi lebih berisiko apabila laluan itu sering digunakan oleh lori-lori membawa muatan pasir dan batu.

“Lori-lori ini sering dipandu laju, dan terdapat beberapa insiden di mana kenderaan terbabas serta terjunam ke dalam parit di kawasan berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, laluan tersebut terletak berhampiran pelbagai kemudahan awam seperti tali air, tadika, gerai makanan, serta lorong masuk ke kampung-kampung, menjadikan kawasan itu sesak dan berbahaya, terutama pada waktu puncak.

“Laluan ini banyak simpang, dan orang kampung keluar masuk dengan tergesa-gesa untuk ke tempat kerja atau menghantar anak ke sekolah. Ini menambah risiko kemalangan,” tambahnya.

Mohammed Nadzri menjelaskan bahawa lori-lori yang menggunakan laluan tersebut dipercayai terlibat dalam projek pembinaan perumahan berdekatan dan mungkin mengejar jadual penghantaran.

“Saya pernah bangkitkan isu ini dalam mesyuarat, dan mencadangkan agar jalan dibesarkan. Tambahan pula, ada jambatan kecil merentasi tali air yang sangat bahaya jika kenderaan bertembung di situ,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ada melakukan rondaan dan penguatkuasaan undang-undang, namun kekerapan yang rendah menyebabkan kesannya tidak signifikan terhadap pemanduan lori-lori terbabit.

Seorang petani tempatan, Mustafa Rahman, 50, turut meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk. Menurutnya, jalan berkenaan sering digunakan lori-lori yang membawa pasir dan batu, dipercayai ke Selangor.

“Lori-lori ini memandu sangat laju, terutama waktu pagi. Saya sendiri takut bawa motosikal waktu hantar anak ke sekolah. Tambahan pula, tiada papan tanda amaran, had laju atau lampu isyarat di laluan ini,” ujarnya.

Beliau berkata, nahas yang berlaku semalam merupakan tragedi paling buruk yang pernah berlaku di laluan tersebut, dan penduduk amat berharap agar rancangan pembesaran jalan yang pernah diluluskan tetapi dibekukan, dapat disambung semula.

Dalam insiden tragik pada jam 8.50 pagi semalam, sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5, berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh, terkorban apabila trak yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori membawa batu kerikil.

Lapan anggota maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan. - Media Telus

+ - reset