TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis panggil pemilik syarikat lori bantu siasatan tragedi FRU di Teluk Intan

By
|
Kongsi
image

TELUK INTAN 16 Mei - Pemilik syarikat lori yang terlibat dalam nahas maut membabitkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus–Sungai Lampam pada Selasa lalu telah dipanggil bagi membantu siasatan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh melibatkan tiga aspek utama iaitu unsur kecuaian manusia, faktor teknikal, dan keadaan persekitaran semasa kejadian.

“Kita telah memanggil pemilik syarikat semalam dan beliau memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Menurut Dr Bakri, siasatan turut melibatkan agensi-agensi teknikal seperti Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Dalam kejadian menyayat hati pada Selasa, sebuah trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam bertembung dengan sebuah lori muatan batu kerikil di Kilometer 15 jalan tersebut. Lapan anggota disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala seorang lagi maut ketika dirawat di Hospital Teluk Intan.

Polis kini menjalankan siasatan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan seramai 15 saksi termasuk anggota polis dan orang awam telah dipanggil bagi membantu siasatan.

“Fokus utama kita kini ialah saksi yang benar-benar berada berhampiran lokasi kejadian dan melihat dengan jelas apa yang berlaku. Konvoi ketika itu melibatkan tujuh kenderaan, dan tidak semua berada dalam kedudukan yang membolehkan mereka melihat insiden secara langsung,” jelas Dr Bakri.

Sementara itu, beliau turut merayu kepada orang awam yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berkaitan nahas tersebut agar tampil membantu siasatan.

“Rakaman dashcam sebelum, semasa atau selepas kejadian amat penting dan boleh dijadikan bahan bukti di mahkamah. Setakat ini, belum ada pihak yang menyerahkan rakaman kepada kami,” tambahnya. - Media Telus

+ - reset