Berita Berita
Guru kini boleh mohon pertukaran selepas dua tahun berkhidmat – KPM

KUCHING 16 Mei - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan bahawa guru yang telah berkhidmat selama sekurang-kurangnya dua tahun kini layak untuk memohon pertukaran, tanpa sebarang syarat tambahan.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam ucapannya sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-54 yang berlangsung di Kuching, Sarawak hari ini.
"Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira pelbagai pandangan dan keprihatinan Kerajaan Madani terhadap kesejahteraan para guru," kata Fadhlina.
Langkah ini menandakan perubahan daripada dasar sedia ada, yang sebelum ini mewajibkan guru untuk berkhidmat sekurang-kurangnya tiga tahun sebelum layak memohon pertukaran.
Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
1,470 Pembantu Guru Dilantik Tahun Ini
Dalam pada itu, Fadhlina turut mengumumkan pelantikan seramai 1,470 pembantu guru bagi tahun 2025. Sekolah yang terpilih berdasarkan kriteria ditetapkan KPM akan menerima dua orang pembantu bagi menyokong tugas-tugas harian guru.
Langkah ini dilihat sebagai usaha mengurangkan beban kerja guru dan meningkatkan keberkesanan pengajaran di bilik darjah.
Guru Terpilih Akan Jalani Latihan ke Luar Negara
Bagi memperkasa kompetensi pendidik, KPM juga akan menghantar guru dan pegawai terpilih mengikuti kursus jangka pendek di luar negara dalam bidang-bidang strategik terpilih. Program tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM4 juta.
Selain itu, seramai 32 orang guru akan dihantar ke sekolah antarabangsa di United Kingdom secara percuma di bawah inisiatif Global Immersion For Future-Ready Teachers (GIFT).
Diskaun Tiket Kapal Terbang untuk Guru
Sebagai tambahan insentif kepada warga pendidik, Fadhlina turut mengumumkan diskaun 20 peratus bagi pembelian tiket kapal terbang kepada guru melalui portal MH GOM, dengan maklumat lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat.
Langkah-langkah yang diumumkan ini sejajar dengan komitmen KPM untuk memartabatkan profesion keguruan serta menyediakan sokongan yang lebih menyeluruh kepada para pendidik di seluruh negara. - Media Telus
Berita berkaitan
May 16, 2025, 7:59 pm
Manjung rekod jumlah tertinggi rumah siap dibina tidak terjual – NAPIC
May 16, 2025, 7:52 pm
Ribut petir, hujan lebat dijangka landa beberapa negeri hingga 9 malam ini – METMalaysia
May 16, 2025, 7:48 pm
Sanusi dakwa kelewatan SOP Perlombongan REE sengaja halang kemajuan negeri PN
May 16, 2025, 7:39 pm
Kanak-kanak 4 tahun maut dalam kebakaran di PPR Krubong, disyaki bermain pemetik api
May 16, 2025, 7:23 pm
Kes HFMD di Kelantan meningkat tiga kali ganda, kanak-kanak paling terjejas
May 16, 2025, 6:46 pm
Usaha bawa pulang Jho Low tidak disenangi sesetengah pihak - PM
May 16, 2025, 4:45 pm
Budak lelaki 4 tahun maut dalam kebakaran di PPR Krubong
May 16, 2025, 3:07 pm
Polis panggil pemilik syarikat lori bantu siasatan tragedi FRU di Teluk Intan
May 16, 2025, 2:48 pm