TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kanak-kanak 4 tahun maut dalam kebakaran di PPR Krubong, disyaki bermain pemetik api

By
|
Kongsi
image

MELAKA 16 Mei - Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemukan maut dalam kebakaran membabitkan unit kediaman di tingkat enam Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, di sini, petang tadi.

Kejadian tragis itu berlaku sekitar jam 2.20 petang dan menurut makluman awal yang diterima pihak bomba, mangsa dipercayai bermain dengan pemetik api sebelum kebakaran tercetus.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Kanan Bomba II Mohd Shahrom Laji memaklumkan bahawa siasatan awal di lokasi kejadian mendapati ibu mangsa, Siti Zaharah Borhan, 43, memaklumkan anaknya bermain dengan pemetik api sebelum kebakaran berlaku.

“Pihak kami masih menjalankan siasatan terperinci, termasuk menggunakan bantuan unit K9 JBPM untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Mangsa yang merupakan anak keempat daripada lima beradik, ditemukan dalam keadaan terbaring dan mengalami kesan melecur di bilik ketiga rumah berkenaan. Jenazah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala punca sebenar kematian masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Kebakaran berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya pada jam 3.24 petang hasil operasi melibatkan 17 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheng serta Ayer Keroh.

Turut hadir di lokasi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin yang meninjau keadaan mangsa dan keluarga. - Media Telus

+ - reset