TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Nenek, cucu rentung tak sempat selamatkan diri dalam kebakaran di Manggatal

By
|
Kongsi
image

KOTA KINABALU 20 Mei – Dua beranak maut dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Kampung Pulau Penampang, Manggatal, awal pagi tadi selepas dipercayai terperangkap dalam kejadian tersebut.

Mangsa, Ruslia @ Gisis Guntamas, 80, dan cucu perempuannya, Joeynita Abdul Alip, 14, ditemukan rentung berhampiran antara satu sama lain kira-kira jam 7.13 dan 7.33 pagi.

Kebakaran itu dipercayai berlaku sekitar jam 5 pagi.

Difahamkan, rumah tersebut dihuni enam sekeluarga, namun empat daripada mereka berjaya menyelamatkan diri.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk bedah siasat.

“Kita masih menunggu laporan lanjut daripada pasukan forensik bomba untuk mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Muhammad Taqiuddin Victor Doon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.22 pagi.

Sepasukan 27 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), telah dikejarkan ke lokasi.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal yang terbakar hampir 90 peratus. Operasi pemadaman segera dijalankan dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 5.55 pagi,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya dimaklumkan bahawa seorang wanita warga emas dan seorang remaja perempuan dipercayai masih berada dalam rumah ketika kejadian.

“Mangsa pertama ditemui pada jam 7.13 pagi dan cucunya dikeluarkan kira-kira 20 minit kemudian. Kedua-dua mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.43 pagi. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

 

+ - reset