TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Azlan Alias cedera, direhatkan dua bulan akibat retak siku

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 20 Mei - Perejam utama skuad sepak takraw negara, Mohamad Azlan Alias disahkan mengalami keretakan pada tulang siku kiri dan terpaksa berehat sekurang-kurangnya dua bulan daripada sebarang aksi kompetitif.

Perkara itu dimaklumkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) selepas pemain apit kanan itu menjalani pemeriksaan perubatan di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil pada Selasa.

“Hasil imbasan X-ray mengesahkan tulang siku Azlan retak akibat hentakan kuat ketika terjatuh dalam aksi final acara regu berpasukan menentang Thailand di Piala Asia Kuala Lumpur 2025,” kata PSM dalam satu kenyataan di Facebook.

Azlan mengalami kecederaan ketika set pertama perlawanan akhir tersebut, namun tetap meneruskan permainan sehingga tamat tiga set, meskipun menahan kesakitan.

Malaysia akhirnya tewas 11–15, 15–12, 15–17 dalam perlawanan yang turut membariskan Mohammad Syahir Mohd Rosdi dan Amirul Zazwan Azmi.

Ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun turut menemani Azlan ketika sesi pemeriksaan perubatan di ISN.

Kecederaan ini turut menimbulkan keraguan mengenai penyertaan Azlan dalam kejohanan Piala Raja Thai yang dijadualkan berlangsung dari 20 hingga 30 Julai ini.

Difahamkan, Azlan akan menjalani rawatan intensif dan fisioterapi sepanjang tempoh pemulihan, namun kepastian mengenai tarikh kepulangannya ke gelanggang bergantung kepada laporan perubatan.

Pasukan negara kini berdepan cabaran lebih besar apabila seorang lagi pemain, Khairul Aman Rosdi turut mengalami kecederaan dalaman dan masih dalam proses pemulihan. - Media Telus

+ - reset