Berita Berita
Sama dengan masalah obesiti, makin ramai rakyat Malaysia diserang gout

KUALA LUMPUR 20 Mei – Malaysia kini berdepan krisis kesihatan awam susulan peningkatan ketara kes penyakit gout, selari dengan kedudukannya sebagai antara negara dengan kadar obesiti tertinggi di Asia.
Menurut pakar reumatologi dan perubatan dalaman di Pusat Perubatan Sunway (SMC), Dr Lydia Pok Say Lee, seramai 4.35 juta penduduk Asia Tenggara termasuk Malaysia menghidap gout, dengan peningkatan sebanyak 21 peratus dicatatkan dari tahun 1990 hingga 2020.
“Gout boleh membawa kepada komplikasi serius seperti penyakit buah pinggang, jangkitan dan kehilangan keupayaan bergerak jika tidak dirawat. Ini menekankan keperluan untuk meningkatkan kesedaran dan intervensi awal,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan SMC, hari ini.
Gout ialah sejenis artritis keradangan yang berpunca daripada lebihan asid urik dalam darah, yang membentuk kristal tajam di dalam sendi dan menyebabkan kesakitan yang tiba-tiba, lazimnya pada waktu malam atau awal pagi.
Dr Lydia menjelaskan simptom utama termasuk sakit sendi dan bengkak secara tiba-tiba tanpa sebarang kecederaan, khususnya pada ibu jari kaki, selain juga boleh menyerang lutut, pergelangan tangan, siku dan jari.
Beliau turut menegaskan bahawa walaupun gout dikenali sebagai "penyakit raja-raja" suatu ketika dahulu kerana kaitannya dengan diet mewah, ia kini menjejaskan semua golongan akibat pemakanan moden.
“Pengambilan makanan tinggi purina seperti daging merah, makanan laut dan minuman keras boleh meningkatkan paras asid urik serta mencetuskan keradangan,” katanya.
Tambah beliau, obesiti merupakan faktor utama, dengan hampir 50 peratus rakyat Malaysia mengalami berat badan berlebihan, sekali gus menyumbang kepada kerosakan buah pinggang yang menyukarkan penyingkiran asid urik daripada badan.
Antara faktor lain yang turut menyumbang kepada gout termasuk sindrom metabolik, hipertensi, diabetes, kolesterol tinggi serta faktor genetik.
Dr Lydia berkata, walaupun lelaki pertengahan umur mempunyai risiko lebih tinggi, wanita selepas menopaus dan kanak-kanak juga tidak terkecuali daripada menghidap penyakit ini.
Beliau turut menyangkal mitos bahawa diet semata-mata menyebabkan gout, sebaliknya menegaskan bahawa faktor genetik, ubat-ubatan dan masalah kesihatan lain turut menyumbang kepada risiko serangan gout.
Katanya, tanpa rawatan jangka panjang, pesakit boleh mengalami serangan lebih kerap dan teruk sehingga menjejaskan kualiti hidup dan memerlukan kemasukan ke hospital.
“Dalam kes kronik, pesakit mungkin mengalami ‘tophi’, iaitu pengumpulan asid urik di bawah kulit yang boleh menyebabkan kecacatan sendi kekal,” ujarnya.
Dr Lydia mengesyorkan agar mereka yang mengalami serangan gout berulang mendapatkan rawatan perubatan yang menyeluruh, termasuk ubat-ubatan dan pelan rawatan jangka panjang untuk menurunkan paras asid urik.
“Dengan diagnosis awal, rawatan yang betul dan perubahan gaya hidup, gout boleh dikawal dan komplikasi dapat dielakkan,” katanya.
Berita berkaitan
May 20, 2025, 10:09 pm
DBKL komited jadikan Kuala Lumpur bandaraya mampan, inklusif
May 20, 2025, 4:15 pm
112 warga Bangladesh, Pakistan dan India ditolak masuk ke Malaysia
May 20, 2025, 3:01 pm
Polis Johor tumpas 17 sindiket dadah, rampasan cecah RM75.85 juta dalam masa empat bulan
May 20, 2025, 3:01 pm
Azlan Alias cedera, direhatkan dua bulan akibat retak siku
May 20, 2025, 2:40 pm
Amaran ribut petir di 12 negeri hingga 4 petang – MetMalaysia
May 20, 2025, 2:25 pm
Lelaki maut kemalangan selepas larikan dua kenderaan curi
May 20, 2025, 2:25 pm