TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Koperal polis disyaki terima rasuah RM25,000 guna akaun bank isteri direman 6 hari

By
|
Kongsi
image

KUALA TERENGGANU 20 Mei – Seorang anggota polis berpangkat koperal direman selama enam hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM25,000, lima tahun lalu.

Perintah reman terhadap suspek berusia dalam lingkungan 30-an itu dibenarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Yuhanis Mohd. Roslan hari ini selepas permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber SPRM, siasatan awal mendapati anggota polis berkenaan dipercayai meminta dan menerima rasuah daripada seorang individu yang sedang disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

“Suspek dipercayai menerima wang sogokan tersebut secara tunai serta melalui transaksi pindahan wang ke dalam akaun bank miliknya dan isterinya.

“Kejadian itu dipercayai berlaku sekitar Oktober 2020,” kata sumber berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd. Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan bahawa kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.

SPRM Terengganu memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan dan pihaknya akan memanggil beberapa saksi untuk melengkapkan siasatan dalam masa terdekat.

+ - reset