Berita Berita
Polis Johor tumpas 17 sindiket dadah, rampasan cecah RM75.85 juta dalam masa empat bulan

JOHOR BAHRU 20 Mei – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor berjaya melumpuhkan sebanyak 17 sindiket pengedaran dadah menerusi penahanan 45 ahli sindiket dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, sekali gus menunjukkan prestasi membanggakan pasukan berkenaan.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, sepanjang tempoh Januari hingga April 2025, JSJN Johor turut merekodkan rampasan dadah bernilai RM75.85 juta serta sitaan pelbagai aset berjumlah RM2.07 juta hasil daripada operasi berterusan yang dijalankan di seluruh negeri.
“Sebanyak 8,598 tangkapan atas pelbagai kesalahan dadah berjaya dibuat sepanjang tempoh berkenaan, selain rampasan sejumlah 878.86 kilogram dadah dan 3,643.77 liter bahan terlarang itu.
“Ini adalah hasil usaha gigih semua anggota dan pegawai JSJN Johor dalam mengekang penularan dadah di negeri ini,” katanya semasa berucap pada Perhimpunan Bulanan Mei 2025 Kontinjen Johor di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Kumar berkata, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Johor turut mencatat beberapa kejayaan besar menerusi operasi yang dikendalikan oleh pasukan khas.
Antaranya ialah kejayaan Pasukan Polis Marin Wilayah 2, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 2 serta Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 5 dan 6 yang berjaya menyelesaikan lapan kes e-waste dengan nilai rampasan dianggarkan hampir RM274 juta.
Selain itu, katanya, pasukan berkenaan juga berjaya menumpaskan 25 aktiviti penyeludupan minuman keras dan rokok tidak bercukai dengan rampasan bernilai RM3.98 juta serta dua kes penyelewengan minyak bersubsidi bernilai RM172,527.
Mengulas lanjut, beliau turut menekankan ancaman jenayah siber yang semakin membimbangkan, khususnya penipuan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor mendapati penjenayah kini semakin kreatif menggunakan AI bagi memperdayakan mangsa dan memanipulasi maklumat.
“Bagi tempoh Januari hingga April lalu sahaja, jumlah kerugian akibat penipuan ini mencecah RM80 juta. Ini satu angka yang amat membimbangkan,” katanya.
Justeru, beliau menyeru masyarakat agar sentiasa berwaspada, menyemak kesahihan maklumat serta tidak sewenang-wenangnya mendedahkan maklumat peribadi kepada pihak tidak dikenali, terutamanya dalam urusan atas talian.
Berita berkaitan
May 20, 2025, 10:09 pm
DBKL komited jadikan Kuala Lumpur bandaraya mampan, inklusif
May 20, 2025, 4:15 pm
112 warga Bangladesh, Pakistan dan India ditolak masuk ke Malaysia
May 20, 2025, 4:03 pm
Sama dengan masalah obesiti, makin ramai rakyat Malaysia diserang gout
May 20, 2025, 3:01 pm
Azlan Alias cedera, direhatkan dua bulan akibat retak siku
May 20, 2025, 2:40 pm
Amaran ribut petir di 12 negeri hingga 4 petang – MetMalaysia
May 20, 2025, 2:25 pm
Lelaki maut kemalangan selepas larikan dua kenderaan curi
May 20, 2025, 2:25 pm