TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dua daripada tiga lelaki Malaysia berisiko mati pucuk, antara punca utama perceraian – KKM

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA, 20 Mei – Dua daripada tiga lelaki di Malaysia berisiko mengalami masalah disfungsi erektil (ED), menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.

Beliau berkata berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, sebanyak 31.6 peratus lelaki berumur 18 tahun ke atas di negara ini mengalami ED pada tahap sederhana hingga teruk.

Bagi lelaki berusia 40 tahun ke atas, peratusannya meningkat kepada 69.5 peratus.

“ED adalah satu isu yang agak kurang dibincangkan, tetapi kini semakin serius dalam kalangan lelaki di Malaysia,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG) bagi Pengurusan ED di Institut Kanser Negara, di sini hari ini.

ED ditakrifkan sebagai ketidakupayaan untuk mendapatkan atau mengekalkan ereksi yang mencukupi bagi melakukan hubungan seksual dengan memuaskan.

Lukanisman berkata CPG tersebut dibangunkan bagi memastikan pesakit ED menerima rawatan terbaik daripada pengamal kesihatan berasaskan pengetahuan dan kemahiran yang relevan.

“CPG ini telah dibangunkan dalam tempoh beberapa tahun dan telah diedarkan kepada klinik, universiti serta persatuan untuk dijadikan panduan rawatan komprehensif ED,” katanya.

Beliau turut menyeru individu yang mengalami ED supaya mendapatkan rawatan di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerana hampir 70 peratus kes ED menyumbang kepada perceraian.

Dalam perkembangan berkaitan, Lukanisman berkata KKM kini bekerjasama dengan platform e-dagang seperti Shopee, Lazada dan TikTok bagi memantau dan menyekat penjualan ubat berkaitan ED yang tidak berdaftar.

“ED adalah penyakit yang perlu dirawat secara perubatan seperti diabetes, darah tinggi atau kolesterol. Jangan salah guna ubat ED sebagai penambah prestasi seksual,” tegasnya.

+ - reset