TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Peguam persoal SPRM panggil Pamela awal sehari, kaitkan dengan kehilangan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR, 21 Mei – Peguam kepada keluarga Datin Seri Pamela Ling Yueh mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memanggil wanita itu hadir sehari lebih awal daripada tarikh asal, iaitu pada 9 April – hari beliau dilaporkan hilang.

Peguam Sangeet Kaur Deo dalam kenyataan hari ini mempersoalkan sama ada SPRM telah memaklumkan kepada polis mengenai pemanggilan itu, terutama jika Pamela dipercayai memiliki maklumat sensitif berkaitan siasatan.

"Mengapa beliau diminta hadir sehari lebih awal? Jika SPRM percaya bahawa beliau mempunyai maklumat penting atau boleh mendakwa seseorang, adakah pihak polis dimaklumkan siapa pihak berkepentingan itu?" katanya.

Pamela sebelum ini mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi untuk mencabar penahanan dan larangan perjalanan ke atasnya oleh SPRM dan Jabatan Imigresen menerusi permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 7 April.

Hakim Amarjeet Singh membenarkan permohonan itu pada 19 Mei selepas berpuas hati bahawa terdapat isu wajar untuk dibicarakan. Peguam Kanan Persekutuan, Mohd Faisal Md Noor, tidak membantah permohonan tersebut.

Peguam Pamela, Surendra Ananth, memaklumkan bahawa pengurusan kes ditetapkan pada 3 Jun depan.

Wanita kelahiran Sarawak itu dilaporkan hilang pada 9 April ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya menaiki perkhidmatan e-hailing. Laporan polis mengenai kehilangan itu dibuat pada jam 3.02 petang hari sama.

Difahamkan, SPRM telah memperoleh waran tangkap terhadap Pamela pada 2 Disember tahun lalu selepas beliau gagal hadir untuk memberikan keterangan berhubung siasatan kes pengubahan wang haram.

+ - reset