TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Armada Bersatu bidas cadangan naikkan umur persaraan kepada 65 Tahun

By
|
Kongsi
image

IPOH 21 Mei - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan cadangan menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 kepada 65 tahun sebagai tidak sesuai dan berpotensi menjejaskan peluang pekerjaan golongan muda.

Menurut Exco Armada Bersatu, Muhammad Airil Fitri Jalalludin, kerajaan perlu menumpukan usaha ke arah menyelesaikan isu pengangguran belia dan graduan, bukan mencadangkan dasar yang boleh memburukkan keadaan pasaran kerja sedia ada.

Beliau menegaskan bahawa tumpuan dasar negara sepatutnya mengutamakan penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi, pengurangan kadar pengangguran belia, serta penyelarasan antara sistem pendidikan dan kehendak sebenar pasaran kerja.

“Cadangan ini memberi gambaran bahawa kerajaan kurang peka terhadap keresahan anak muda. Kadar pengangguran belia berusia 15 hingga 24 tahun masih tinggi iaitu 10.4 peratus, manakala bagi kumpulan umur 15 hingga 30 tahun pula mencecah 6.2 peratus,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Tambahnya lagi, isu ketidakpadanan pekerjaan juga semakin ketara apabila lebih satu pertiga graduan terpaksa memulakan kerjaya dalam bidang yang tidak sepadan dengan kelayakan akademik mereka.

Airil menyifatkan pasaran kerja tempatan sebagai tidak berkembang seiring dengan pertambahan graduan, manakala pekerjaan berkemahiran tinggi pula masih tidak mencukupi. Dalam keadaan ini, katanya, menaikkan umur persaraan hanya akan menyempitkan lagi peluang kepada anak muda untuk memasuki pasaran kerja.

Beliau turut memberi amaran bahawa pelaksanaan cadangan tersebut boleh meningkatkan kadar pengangguran dan melemahkan keyakinan generasi muda terhadap masa depan ekonomi negara.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan sebarang perubahan besar seperti cadangan menaikkan umur persaraan wajib perlu melalui perbincangan terbuka melibatkan pelbagai pihak termasuk suara anak muda, pakar pendidikan, pemain industri dan organisasi belia.

“Kami menolak sebarang dasar yang menjejaskan peluang pekerjaan dan masa depan generasi akan datang. Malaysia perlu menilai cadangan sebegini mengikut realiti ekonomi dan sosial negara, bukan semata-mata meniru dasar luar tanpa pertimbangan menyeluruh,” tegasnya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menyuarakan pandangan agar kerajaan mempertimbangkan peningkatan umur persaraan wajib kepada 65 tahun. Menurutnya, adalah satu kerugian apabila golongan berpengalaman dipaksa bersara pada usia 60 tahun sedangkan mereka masih berupaya menyumbang kepada tenaga kerja negara. - Media Telus

+ - reset