TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Permohonan lesen penjajaan DBKL dibuka bermula 1 Jun

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 21 Mei - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membuka permohonan lesen penjajaan bermula 1 Jun hingga 30 Jun 2025, sebagai sebahagian daripada inisiatif Pemutihan Penjaja 2025. Namun, lesen ini tidak termasuk bagi penjaja beredar tanpa kenderaan, yang berada di bawah kategori berasingan.

Inisiatif tersebut merupakan langkah strategik untuk memperkemas pengurusan sektor penjajaan di ibu negara dan menyediakan laluan sah kepada para penjaja tempatan menjalankan perniagaan secara teratur. Ia turut selaras dengan arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa.

Pemutihan Penjaja 2025 melibatkan dua kategori utama penjaja, iaitu penjaja beredar tanpa kenderaan dan penjaja sementara. Penjaja beredar tanpa kenderaan merujuk kepada individu yang menjalankan aktiviti jualan secara bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain tanpa menggunakan sebarang bentuk kenderaan. Bagi kategori ini, DBKL menawarkan lesen mengikut program semasa atau tanpa program, membenarkan aktiviti seperti penjualan makanan dan minuman berbungkus, bunga jalanan, dan permainan kanak-kanak.

Sementara itu, kategori penjaja sementara merangkumi mereka yang berniaga secara statik di gerai atau petak tepi jalan mengikut waktu operasi yang ditetapkan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur. Penjaja ini hanya dibenarkan menjual makanan dan minuman secara berbungkus sahaja. Lesen yang ditawarkan kepada mereka termasuk Lesen Waktu Terhad atau Lesen Gerai Tepi Jalan.

Menurut kenyataan rasmi DBKL hari ini, setiap permohonan akan disemak dan ditapis berdasarkan syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan. Maklumat lengkap berhubung syarat permohonan dan tatacara permohonan akan diumumkan menerusi Portal Rasmi DBKL dan saluran media sosial rasmi DBKL dalam masa terdekat.

Pemohon yang berjaya akan dimaklumkan mengenai keputusan permohonan mereka pada bulan Ogos 2025. Dalam kenyataan sama, DBKL turut menegaskan bahawa semua permohonan mestilah dikemukakan secara langsung kepada pihak berkuasa tempatan itu. DBKL tidak melantik mana-mana ejen, wakil atau pihak ketiga untuk menguruskan permohonan lesen ini bagi mengelakkan unsur penipuan dan penyebaran maklumat palsu.

DBKL yakin bahawa pelaksanaan inisiatif ini mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat, meningkatkan daya saing serta profesionalisme penjaja, dan seterusnya mewujudkan persekitaran ekonomi bandar raya yang lebih tersusun, mampan, dan inklusif. - Media Telus

+ - reset