TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Wanita keluar ke farmasi terkejut rumah pusaka hangus terbakar ketika pulang

By
|
Kongsi
image

 

KOTA BHARU, 21 Mei – Seorang wanita yang menghidap penyakit kencing manis dan buah pinggang kronik tinggal sehelai sepinggang apabila rumah pusaka keluarganya musnah dalam kebakaran di Kampung Pangkal Pisang, Peringat, malam tadi.

Mangsa, Nurlaila Haziqah Ismail, 37, berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 malam, hanya 20 minit selepas beliau dan suaminya, Mohd Asri Rasid, 40, keluar ke farmasi untuk membeli pembalut luka.

“Saya terima panggilan daripada penduduk kampung yang memaklumkan rumah saya terbakar. Kami segera pulang dan melihat api sedang marak. Saya hanya mampu melihat dari jauh kerana tidak sempat menyelamatkan apa-apa barangan,” katanya dalam laporan Kosmo Online ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Menurut Nurlaila Haziqah, rumah tersebut merupakan rumah pusaka peninggalan ibu bapanya yang telah meninggal dunia tujuh tahun lalu.

Beliau kini menumpang di rumah saudara berdekatan kerana tiada tempat berteduh.

“Saya sudah 14 tahun menghidap dua penyakit ini, manakala suami pula hanya bekerja kampung. Kami tidak mampu membina semula rumah,” katanya sambil menambah beliau mengesyaki kebakaran berpunca daripada litar pintas berdasarkan maklumat penduduk yang melihat api bermula dari bumbung ruang tamu.

Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran.

+ - reset