TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bas terbakar dalam Kampus UTM, enam penuntut nyaris maut

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 21 Mei - Enam penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) nyaris maut apabila sebuah bas yang mereka naiki terbakar di kawasan perhentian bas berhampiran Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Jalan Lingkaran Ilmu, Skudai, pagi tadi.

Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Pegawai Bomba Kanan 1 Kamarulzaman Salleh, kejadian berlaku sekitar jam 10 pagi. Ketika itu, bas tersebut sedang bergerak di dalam kawasan kampus dan membawa enam penuntut.

Pemandu bas dilaporkan terdengar bunyi letupan di bahagian belakang sebelah kanan kenderaan sebelum menghentikannya. Pemeriksaan mendapati tayar belakang bas telah terbakar. Pemandu berusaha memadamkan api menggunakan alat pemadam api, namun usaha itu gagal.

Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 9.58 pagi dan segera menggerakkan enam anggota bersama sebuah jentera jenis Compact Fire Rescue Tender (CFRT) ke lokasi. Setibanya mereka di tempat kejadian, bas tersebut telah terbakar sehingga 40 peratus.

Kebakaran berjaya dikawal dan operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.06 pagi. Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Pihak UTM dalam satu kenyataan menyatakan bahawa insiden tersebut dipandang serius kerana melibatkan keselamatan dalam kampus. Universiti turut memaklumkan bahawa siasatan dalaman sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran.

Menurut kenyataan itu lagi, UTM akan meneliti langkah-langkah pencegahan dan penambahbaikan yang wajar bagi memastikan insiden serupa tidak berulang. - Media Telus

+ - reset