TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KESUMA kaji cadangan umur persaraan dinaikkan kepada 65 tahun - Steven

By
|
Kongsi
image

KLANG 24 Mei – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) kini sedang meneliti cadangan menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 kepada 65 tahun, selaras usaha menambah baik undang-undang buruh negara.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, kajian itu dijalankan menerusi satu jawatankuasa khas yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa), Dr Mohd Shaharin Umar, memandangkan isu tersebut melibatkan dasar utama kementerian.

“Jawatankuasa ini akan mengkaji kesesuaian pelaksanaan di Malaysia kerana ia mempunyai pro dan kontra serta cabaran tersendiri.

"Kita akan mendapatkan input daripada semua pihak berkepentingan termasuk sektor awam, majikan dan pekerja bagi memastikan keputusan yang diambil seiring dengan amalan terbaik antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2025 peringkat Zon Tengah di sini hari ini.

Menurutnya, kajian tersebut juga merupakan sebahagian daripada reformasi pasaran buruh negara yang menyasarkan penambahbaikan terhadap 28 undang-undang perburuhan sedia ada, termasuk menyemak semula peruntukan yang sudah lapuk.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan cadangan menaikkan had usia persaraan kepada 65 tahun wajar diberi pertimbangan serius.

Pada 20 Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said turut mencadangkan perkara sama.

Dalam perkembangan berkaitan, Sim turut mengumumkan peruntukan RM10 juta untuk pelaksanaan PHEKS tahun ini, meningkat berbanding RM5.8 juta pada 2024 dan merupakan jumlah tertinggi dalam sejarah program itu.

Katanya, peruntukan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkasakan gerakan kesatuan sekerja melalui latihan dan pendidikan termasuk kemahiran, kepimpinan serta pengurusan.

“Kita juga galakkan kesatuan beralih kepada pendigitalan melalui penggunaan teknologi komputer dan digitalisasi dalam pentadbiran mereka,” katanya.

Setakat ini, sebanyak 1,049 permohonan bantuan diterima dengan 551 permohonan telah diluluskan bernilai RM7.15 juta. Daripada jumlah itu, 138 permohonan melibatkan Zon Tengah yang merangkumi Selangor dan Wilayah Persekutuan, dengan nilai RM2.1 juta.

+ - reset