TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Trak bawa anggota 25 tentera ke LIMA’25 kemalangan, 6 cedera

By
|
Kongsi
image

 

LANGKAWI, 23 Mei — Sebuah trak milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang membawa 25 anggota ke Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’25) terlibat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di simpang tiga Jalan Teluk Baru dan Pantai Cenang, di sini, pada Jumaat.

Kejadian berlaku sekitar jam 3 petang dan membabitkan 30 mangsa, dengan enam daripadanya mengalami kecederaan, termasuk seorang dalam kategori ‘zon merah’ akibat kecederaan serius di bahagian tengkuk.

Menurut Penguasa Kanan Bomba I, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Ahmad Aminuddin Abd Rahim, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Darat Resort World dan tiba di lokasi dalam tempoh lima minit.

"Pasukan penyelamat memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum menyerahkan mereka kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut. Operasi ditamatkan jam 3.41 petang setelah keadaan terkawal," katanya.

TLDM dalam kenyataan mengesahkan kejadian itu membabitkan trak tiga tan milik mereka yang hilang kawalan dan terbabas ketika dalam perjalanan pulang ke Resorts World Langkawi selepas selesai solat Jumaat di Masjid Al Ehsan Temonyong.

“Kesemua 25 petugas dibawa ke bilik perubatan Segmen Maritim untuk rawatan awal. Dua daripada mereka dihantar ke Hospital Sultanah Maliha akibat kecederaan di bahagian kaki.

“Tiada kematian dilaporkan. TLDM akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Orang awam dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” jelas kenyataan itu.

Kemalangan turut melibatkan empat lagi kenderaan awam iaitu sebuah Toyota Avanza, dua buah Perodua Axia dan sebuah Perodua Viva.

+ - reset