TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Rafizi tak hadir Kongres PKR selepas kalah Timbalan Presiden

By
|
Kongsi
image

 

JOHOR BAHRU 24 Mei - Ketidakhadiran Datuk Seri Rafizi Ramli pada hari terakhir Kongres Nasional PKR 2025 menimbulkan tanda tanya dalam kalangan perwakilan, sehari selepas beliau tewas dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden parti.

Setakat jam 10.17 pagi ini, kelibat Ahli Parlimen Pandan yang juga Menteri Ekonomi itu belum muncul di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, lokasi berlangsungnya kongres, mencetuskan pelbagai spekulasi di dewan kongres yang penuh dengan perwakilan menanti perkembangan lanjut.

Rafizi menjadi antara figura paling menonjol menjelang pemilihan parti menerusi siri jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK), di mana beliau lantang mengkritik sistem dalaman parti serta mengemukakan pelbagai pandangan tajam terhadap kepimpinan dan calon lain.

Beliau sebelum ini turut menyatakan kesediaan melepaskan jawatan Kabinet sekiranya tewas dalam saingan Timbalan Presiden iaitu kenyataan yang kini kembali mendapat perhatian susulan keputusan rasmi diumumkan malam tadi.

Saingan jawatan nombor dua parti menyaksikan Nurul Izzah Anwar, yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, meraih 9,803 undi menewaskan Rafizi yang memperoleh 3,866 undi sekali gus membawa perubahan besar dalam struktur kepimpinan PKR.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa sekitar jam 10.30 malam tadi selepas ucapan dasar Presiden oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Rafizi ketika ditemui media sejurus keputusan diumumkan hanya menjawab ringkas: “It’s ok, you should ask the (new) Timbalan Presiden” dan enggan mengulas lanjut, malah dilihat tidak begitu selesa menjawab soalan mengenai penerimaan terhadap kekalahannya.

Hari ini, Kongres diteruskan dengan sesi perbahasan ucapan dasar Presiden, yang turut dihadiri Anwar bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah, yang tiba lebih awal bersama barisan kepimpinan tertinggi parti.

+ - reset