Berita Berita
Sivakumar gesa pemimpin bela nasib pelajar India ke Matrikulasi

KUALA LUMPUR 24 Mei – Pengasas dan Presiden Persatuan Kebajikan Dinamik Sinar Kasih Malaysia (DSK), Datuk N Sivakumar menyeru semua wakil rakyat, khususnya yang mewakili masyarakat India, agar segera bersuara dan mengambil tindakan tegas berhubung isu kemasukan pelajar ke program matrikulasi.
Beliau turut memuji keberanian Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan menghantar surat rasmi kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk mendapatkan butiran terperinci mengenai bilangan pelajar India yang memohon dan ditawarkan tempat dalam program matrikulasi tahun ini.
“Tindakan ini harus dipuji bukan sahaja kerana ia langkah yang wajar, tetapi juga kerana beliau tampil bersuara ketika ramai yang memilih untuk mendiamkan diri,” katanya dalam satu kenyataan.
Namun, Sivakumar menegaskan bahawa suara seorang pemimpin sahaja tidak mencukupi untuk membawa perubahan bermakna.
Beliau mempersoalkan sikap membisu wakil rakyat lain yang turut mewakili masyarakat India di Parlimen, Dewan Undangan Negeri, dan Dewan Negara.
“Semasa era pentadbiran mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebanyak 2,200 tempat diperuntukkan kepada pelajar India untuk mengikuti program matrikulasi iaitu tambahan sebanyak 700 tempat daripada jumlah asal 1,500.
"Ketika itu, wakil rakyat India jauh lebih sedikit berbanding hari ini. Tetapi hasilnya tetap diperoleh,” jelasnya.
Beliau turut melahirkan kekecewaan terhadap ketiadaan peningkatan atau pembaharuan dasar yang ketara dalam kemasukan matrikulasi meskipun jumlah pemimpin India di dalam kerajaan kini lebih ramai dan memegang pelbagai jawatan penting.
“Sebagai pemimpin, mereka seharusnya berani mempersoalkan dasar, memohon data rasmi dan memperjuangkan nasib rakyat terutamanya dalam isu kritikal seperti pendidikan dan ekonomi,” tambahnya.
Sivakumar juga menekankan bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi jaminan bahawa semua pelajar cemerlang yang memperoleh 10A dan ke atas dalam SPM akan ditawarkan tempat dalam program pendidikan tinggi tanpa mengira kaum atau latar belakang.
Beliau menyambut baik komitmen itu, namun menegaskan bahawa pelaksanaannya perlu dipantau dengan teliti agar tidak hanya tinggal janji.
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap kekurangan ketelusan mengenai jumlah sebenar tempat yang ditawarkan dalam program matrikulasi, bilangan pelajar yang diterima, serta kadar permohonan yang ditolak.
“Ramai pelajar datang daripada keluarga B40, dan pendidikan adalah satu-satunya jalan keluar dari belenggu kemiskinan. Masyarakat India sering menerima maklumat bercelaru dan keadaan ini sangat membimbangkan,” ujarnya.
Justeru, beliau menyeru semua wakil rakyat tanpa mengira parti politik agar meletakkan kepentingan masa depan generasi muda sebagai keutamaan dan tidak terus membiarkan isu penting ini berlalu sepi tanpa tindakan.
Berita berkaitan
May 24, 2025, 3:52 pm
Anwar jamin harga RON95 tidak akan naik demi rakyat
May 24, 2025, 1:04 pm
Pengorbanan selama 27 tahun hanya sia-sia - Rafizi
May 24, 2025, 11:38 am
Hanya Azam Baki yang berani siasat tauke besar - Anwar
May 24, 2025, 11:09 am
Rafizi tak hadir Kongres PKR selepas kalah Timbalan Presiden
May 24, 2025, 8:34 am
SPRM ambil keterangan 24 individu, siasat penyeludupan bahan kimia di KLIA
May 23, 2025, 9:27 pm
Trak bawa anggota 25 tentera ke LIMA’25 kemalangan, 6 cedera
May 23, 2025, 5:28 pm
Bekalan air Johor Bahru dijangka pulih sepenuhnya tengah malam ini – MB
May 23, 2025, 5:09 pm
Dua maut, kereta rempuh lori buat pusingan U di Melaka
May 23, 2025, 4:30 pm