TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dikritik tidak masuk akal, tiada asas, SPRM akan tetap lucut hak harta Tun Daim - Azam Baki

By
|
Kongsi
image

 

KAJANG, 28 Mei – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertegas akan meneruskan tindakan melucutkan sebahagian hak pemilikan harta milik Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan keluarganya yang didakwa tidak diisytiharkan kepada pihak berkuasa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, walaupun tindakan itu dikritik peguam keluarga Daim sebagai tidak masuk akal dan tiada asas perundangan, pihaknya yakin harta berkenaan diperoleh secara yang menyalahi undang-undang.

“Berasas atau tidak, itu adalah pandangan beliau. Mereka berhak menyuarakan apa sahaja, tetapi di pihak kami, tindakan tetap diteruskan mengikut perancangan.

“Kami percaya sebahagian harta itu mungkin diperoleh dengan cara yang salah, dan kami akan tentukan hak terhadap harta tersebut melalui proses undang-undang,” katanya kepada media selepas merasmikan Pelancaran Polisi Integriti Universiti Islam Selangor (UIS) di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UIS, Datuk Prof. Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah.

Azam turut memaklumkan bahawa SPRM kini telah membuka lapan kertas siasatan berkaitan aset Daim, namun tidak menolak kemungkinan jumlah itu akan bertambah.

“Setakat ini, jumlah keseluruhan harta yang dikesan adalah RM2 bilion. Setiap harta yang hendak dilucutkan hak memerlukan kertas siasatan berasingan, dan ya… ia mungkin bertambah selepas ini,” katanya.

Beliau turut mengesahkan bahawa selain harta yang telah dibekukan, SPRM percaya masih terdapat aset lain milik keluarga dan proksi Daim yang tidak diisytiharkan, termasuk di luar negara.

Sebelum ini, peguam keluarga Daim, Rajesh Nagarajan, menyifatkan tindakan SPRM itu sebagai tidak masuk akal, tidak berasas dari segi undang-undang, tidak boleh dipertahankan serta berunsur pembalasan dendam.

Menurut beliau, Allahyarham Daim telah meninggal dunia dan tidak pernah disabitkan sebarang kesalahan jenayah, malah tiada pertuduhan tertangguh di mahkamah terhadapnya.

Walaupun berdepan kritikan, SPRM menegaskan proses pelucutan hak harta akan diteruskan berasaskan siasatan yang dijalankan secara menyeluruh mengikut lunas undang-undang.

+ - reset