TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Rampasan wang tunai RM177 juta libat kes Ismail Sabri antara terbesar pernah dilihat – Azam Baki

By
|
Kongsi
image

KAJANG 28 Mei - Ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengakui bahawa rampasan wang tunai bernilai RM177 juta dalam siasatan terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah antara yang terbesar pernah beliau lihat sepanjang 42 tahun berkhidmat.

Beliau berkata, selain rampasan terkini itu, wang tunai berjumlah RM53.3 juta yang dirampas dalam skandal Jabatan Air Negeri Sabah pada 2016 juga pernah dianggap antara yang paling besar sehingga kini.

Meskipun tidak menamakan secara langsung siasatan kes bekas perdana menteri ke-9 itu, Azam menyifatkan jumlah wang tersebut begitu banyak sehingga menimbulkan apa yang digelarnya sebagai "bau duit".

“Duit ini seperti tarikan besi yang boleh membuatkan seseorang hilang sahsiah diri dan sebagainya, kerana mereka akan tetap memilih duit jika diberi pilihan,” katanya.

Azam turut berkongsi pengalaman ketika satu sidang akhbar pada Oktober 2016, apabila beliau menyaksikan sendiri jumlah wang yang banyak tersusun dalam satu bilik di pejabat SPRM Sabah.

“Jika di situ ada najis, ia juga tidak akan berbau kerana bau yang datang adalah ‘bau duit yang wangi’,” katanya.

Tambah beliau, kes kedua terbesar yang pernah beliau saksikan adalah rampasan RM177 juta yang baru-baru ini berlaku, yang katanya berada “di depan mata saya sendiri”.

Pada Mac lalu, SPRM mendedahkan rampasan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa serta 16 kilogram jongkong emas bernilai hampir RM7 juta, melibatkan siasatan rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Ismail Sabri.

Wang yang dirampas itu membabitkan pelbagai mata wang termasuk Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan, dan sebahagiannya ditemui di premis dikenali sebagai ‘safehouse’.

Dalam ucapannya ketika merasmikan Peluncuran Polisi Integriti Universiti Islam Selangor (UIS), Azam turut menjawab kritikan berhubung dakwaan penyiasatan terpilih.

“Saya jawab, anda lihat duit (yang ada di atas meja), adakah ini siasatan terpilih?” katanya, merujuk kepada pertanyaan wartawan ketika sidang media kes Ismail Sabri.

Mengulas mengenai mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) baru-baru ini, Azam berkata beliau turut ditanya mengenai dakwaan bahawa rasuah di Malaysia bersifat sistemik.

“Saya disoal mereka dan saya jawab, rasuah hari ini berpunca daripada hasil terdahulu, iaitu didikan oleh ahli keluarga kita, sikap sendiri dan persekitaran tempat kita belajar,” katanya.

Menurut beliau, pada awalnya negara mempunyai pemimpin yang berusaha membanteras rasuah sehingga tertubuhnya Badan Pencegahan Rasuah (BPR), namun selepas ekonomi mula berkembang pesat, kejaran terhadap kekayaan telah mengatasi nilai integriti.

“Kita mula mengajar anak mengejar kejayaan dan duit berbanding meminta mereka menjadi manusia berguna,” ujarnya. – Media Telus

+ - reset