TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Rafizi umum letak jawatan Menteri Ekonomi, berkuat kuasa 17 Jun

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, hari ini mengumumkan peletakan jawatannya daripada Jemaah Menteri, berkuat kuasa 17 Jun 2025.

Menurut beliau, surat peletakan jawatan telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala baki cuti tahunan akan digunakan sehingga tarikh berkuat kuasa peletakan jawatan tersebut.

“Peletakan jawatan ini adalah selari dengan prinsip politik baharu yang saya anuti, berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Rafizi menyatakan keputusan itu dibuat susulan kekalahannya dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini, yang menurutnya mencerminkan kehilangan mandat daripada parti untuk terus menerjemahkan agenda rakyat sebagai dasar kerajaan.

“Seperti amalan demokrasi di negara-negara maju, pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti wajar memberi laluan kepada kepimpinan baharu untuk menggalas peranan dalam kerajaan,” ujarnya.

Dalam kenyataannya, Rafizi turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan dan kakitangan Kementerian Ekonomi atas kerjasama dan profesionalisme sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Beliau menzahirkan keyakinan bahawa kementerian tersebut akan terus melaksanakan program pembaharuan ekonomi negara dengan jayanya.

Antara pencapaian terakhir beliau sebagai Menteri Ekonomi adalah memuktamadkan dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang.

RMK13, katanya, memberi tumpuan kepada reformasi pendidikan menyeluruh, termasuk cadangan pembaharuan struktur dalam Kementerian Pendidikan. Beliau berharap reformasi tersebut dikekalkan meskipun beliau tidak lagi dalam kabinet.

Rafizi turut berterima kasih kepada rakyat Malaysia, penjawat awam, sektor swasta, media dan semua pihak berkepentingan yang telah bekerjasama dengannya sepanjang perkhidmatan sebagai Menteri Ekonomi.

“Perjalanan untuk merubah struktur ekonomi negara masih jauh. Kita perlu terus membuat keputusan yang sukar demi masa depan generasi akan datang,” katanya mengakhiri kenyataan.

+ - reset