TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ini sebab kenapa Rafizi tak perlu letak jawatan Menteri Ekonomi

By
|
Kongsi
image

Oleh AZRUL RADI

KUALA LUMPUR 28 Mei - Kegagalan Datuk Seri Rafizi Ramli mempertahankan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti baru-baru ini telah menimbulkan desakan daripada pelbagai pihak agar beliau melepaskan jawatan sebagai Menteri Ekonomi.

Akhirnya pada hari ini, beliau sendiri mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri berkuat kuasa 17 Jun depan.

Rafizi menyatakan keputusan itu dibuat susulan kekalahannya dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini, yang menurutnya mencerminkan kehilangan mandat daripada parti untuk terus menerjemahkan agenda rakyat sebagai dasar kerajaan.

Namun, disebalik peletakan jawatan itu, ada yang menganggap bahawa tindakan bekas Timbalan Presiden PKR itu tidak sepatutnya dilakukan apatah lagi perkara itu akan memberi kesan besar kepada parti sendiri.

Penganalisis Politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan, kedudukan Rafizi sebagai Menteri Ekonomi dianggap berkait rapat dengan peranannya sebagai Timbalan Presiden PKR, yang dilihat sebagai tonggak penting parti dalam kerajaan perpaduan.

Oleh itu, kegagalan Rafizi dalam pemilihan parti secara logiknya membawa kepada persoalan sama ada beliau wajar terus memegang jawatan dalam Kabinet.

Walau bagaimanapun, Profesor Dr Azmi Hassan menegaskan bahawa terdapat beberapa faktor yang boleh menghalang peletakan jawatan Rafizi.

Timbalan Presiden PKR yang baharu bukan seorang senator mahupun ahli Parlimen.

Jika Rafizi meletakkan jawatan, akan wujud kekosongan yang sukar diisi kerana jawatan Menteri Ekonomi merupakan kuota PKR dalam kerajaan.

Beliau turut memberi contoh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang tempoh jawatan senaturnya akan tamat pada Disember ini.

Menurutnya, masih tidak jelas sama ada kuota itu adalah kuota kerajaan Persekutuan secara keseluruhan atau kuota khusus untuk parti UMNO, menunjukkan betapa kompleksnya isu kuota dalam kabinet.

“Sebaik-baiknya Rafizi mengekalkan jawatan Menteri Ekonomi bagi merapatkan saf kepimpinan PKR.

"Tambahan pula, Datuk Seri Saifuddin Nasution yang tidak bertanding dalam pemilihan kali ini dilihat sebagai tokoh yang boleh membantu merapatkan saf kepimpinan parti dan kerajaan,” katanya kepada Media Telus.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa jika Rafizi meletakkan jawatan, isu utama adalah mencari pengganti yang sesuai bagi mengisi kekosongan tersebut memandangkan ia adalah kuota PKR dalam kerajaan perpaduan.

Isu ini dijangka terus menjadi topik hangat di kalangan pemerhati politik dan rakyat Malaysia yang menantikan keputusan muktamad daripada pihak kepimpinan PKR dan kerajaan. - Media Telus

+ - reset