TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Jangan buat spekulasi tidak berasas, polis sahkan tiada kes pukau di Pekan

By
|
Kongsi
image

KUANTAN 28 Mei - Polis menafikan dakwaan berlaku kes pecah rumah dengan kaedah pukau membabitkan suspek bersenjatakan parang dikatakan berleluasa di daerah Pekan yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, berkata berdasarkan siasatan yang dilakukan, dakwaan terbabit tidak berasas sama sekali.

Katanya, pihaknya juga tidak menerima sebarang laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan berhubung dakwaan terbabit.

"Dalam kes ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan dakwaan yang tidak berasas tanpa merujuk kepada pihak berkuasa terlebih dahulu.

"Sebaiknya, orang ramai boleh mendapatkan kesahihan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Pekan di talian 09-4221222 atau balai polis berhampiran," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Berdasarkan kenyataan yang tular di media sosial, berlaku kes pukau di kawasan Pekan yang berleluasa dan suspek bersenjatakan parang.

+ - reset