TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ringan beban pemandu E-Hailing, GV Ride sasar edar 1,000 kereta EV sewa beli tahun depan

By
|
Kongsi
image

 

KAJANG, 29 Mei – Pengendali perkhidmatan E-hailing tempatan, GV Ride, mensasarkan 1,000 kenderaan elektrik (EV) yang bakal disediakan secara sewa beli khusus untuk pemandu mereka bermula tahun depan, sebagai usaha memperkukuh kelestarian dan menjamin kebajikan rakan penghantar dalam jangka panjang.

Ketua Pegawai Eksekutif GV Ride, Kabeer Maand, berkata projek tersebut sebelum ini dijadual bermula pada awal tahun 2025, namun tertangguh ekoran kelewatan penghantaran dari pihak pengilang di China.

“Buat masa ni, sepatutnya dah mula awal tahun ni. Tapi disebabkan kelewatan daripada pengilang di China, ia tertangguh sikit. Bulan depan kita akan terima kenderaan pertama untuk dapat pengesahan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). 

“Dari situ, dijangkakan dalam bulan Oktober atau November tahun ini akan dapat pengesahan JPJ dan kita akan mulakan programnya,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Penyerahan Hadiah Program “Kayuh & Menang” GV Ride, di sini, hari ini.

Menurut Kabeer, program ini bertujuan membantu pemandu E-hailing sepenuh masa beralih kepada EV dengan kaedah pemilikan mampu milik tanpa memerlukan bayaran pendahuluan yang tinggi.

“Kita jangka untuk mulakan projek dengan 1,000 kereta sewa beli dulu. Pemandu tak perlu keluar duit pendahuluan untuk ambil kereta.

"Bayar deposit mungkin dalam RM2,000 ke RM3,000. Ambil kereta EV, sewa beli 5 tahun. Kita akan beralih daripada kereta biasa ke EV tahun depan,” jelasnya.

Tambah beliau, keutamaan diberikan kepada pemandu sepenuh masa kerana komitmen penggunaan yang lebih tinggi dan mampan untuk menampung kos kenderaan EV.

Dalam pada itu, GV Ride turut mengumumkan promosi diskaun tambang RM10 bagi Jun ini, tertumpu di kawasan Subang, Kuala Lumpur termasuk Universiti Malaya (UM) serta kawasan universiti di Hulu Langat, sebagai inisiatif membantu mobiliti pelajar.

Dengan pelaksanaan projek ini, GV Ride dijangka menjadi antara pelopor dalam usaha membawa transformasi tenaga bersih ke dalam industri e-hailing tempatan.

+ - reset