TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Penarikan subsidi gas masak tindakan tidak berperikemanusiaan – Ahmad Fadhli

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 29 Mei – Kerajaan digesa segera menarik balik keputusan penarikan subsidi gas memasak yang melibatkan golongan peniaga kecil dan sederhana demi mengelakkan kesan rantaian yang membebankan rakyat, khususnya kenaikan harga makanan.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kerajaan madani perlu menghentikan segala bentuk tekanan terhadap peniaga kecil serta menghormati peranan mereka sebagai tulang belakang ekonomi negara.

Menurutnya, kerajaan wajar membentangkan pelan subsidi bersasar yang bersifat telus, adil dan praktikal bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Kerajaan sepatutnya memberikan tempoh transisi minimum 12 bulan sebelum sebarang pelaksanaan drastik dilaksanakan.

“Tindakan tidak berperikemanusiaan kerajaan menarik balik subsidi gas memasak daripada golongan peniaga kecil dan sederhana bermula 1 Mei 2025 adalah satu bentuk rompakan sah terhadap rakyat oleh kerajaan madani,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali menjelaskan bahawa pelaksanaan operasi bagi menggempur penyelewengan dan ketirisan gas memasak bersubsidi (Ops Gasak) bukan bertujuan menarik subsidi ke atas gas petroleum cecair (LPG).

Menurut beliau, tindakan yang diambil oleh pihak penguat kuasa kementerian adalah bagi memperkasakan peruntukan sedia ada.

Tambah Ahmad Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pas, langkah mewajibkan penggunaan tong gas komersial 14 kilogram (kg) berwarna ungu berharga RM70 menggantikan tong subsidi isi rumah berharga RM26.60 merupakan penindasan terang-terangan terhadap pengusaha kecil.

“Ini kenaikan lebih 160 peratus, satu angka luar biasa yang boleh menghancurkan daya saing perniagaan kecil di Malaysia. Dengan hanya tiga tong sehari, kos operasi bulanan boleh melonjak lebih RM1,300. Ini bukan rekaan, ini adalah realiti matematik.

“Tiga tong sehari × RM70 × 30 hari = RM6,300 sebulan, berbanding sebelum ini, tiga tong × RM26.60 × 30 hari = RM2,394 sebulan. Kenaikan RM3,906 sebulan hanya untuk gas!” tegasnya.

Ujar beliau, lebih mengaibkan apabila kerajaan tidak menyediakan sebarang pelan mitigasi atau peralihan untuk menangani implikasi keputusan tersebut.

Sebaliknya, katanya, peniaga kecil disuruh terus mematuhi dasar baharu itu dalam suasana penuh tekanan tanpa perincian yang jelas dan tanpa ruang perbincangan.

“Adakah ini definisi madani? Menindas penjaja kecil di lorong-lorong belakang sementara kroni terus bergelumang dalam projek-projek mega?

“Kesan daripada langkah zalim ini, harga makanan pasti naik. Nasi ayam RM9 mungkin jadi RM11. Kuih-muih naik 30 sen ke RM1.50, pelanggan makin tertekan. Kuasa beli rakyat akan menjunam, orang makin kurang makan di luar.

“Peniaga mikro dan individu kumpulan berpendapatan rendah (B40) bakal terkubur. Mereka tidak mampu menampung lonjakan kos sedemikian rupa. Industri makanan dan minuman (F&B) akan lumpuh. Katering, trak makanan, pengusaha dobi – semua akan terkena impak,” katanya.

Tambah beliau, inflasi makanan dijangka melonjak, sekali gus memecah harga siling makanan harian rakyat, namun kerajaan tetap berdalih kononnya rakyat biasa tidak terkesan.

“Kerajaan tidak boleh berselindung di sebalik alasan ‘ini hanya untuk peniaga’.

“Bila peniaga menanggung kos tambahan RM4,000 sebulan, adakah mereka akan kekal menjual makanan dengan harga sama? Tidak! Beban itu akan kembali ke pinggan rakyat.

“Sekiranya kerajaan terus bongkak dan pekak terhadap suara rakyat marhaen, maka rakyat berhak menolak kerajaan ini dalam pilihan raya akan datang.

“Reformasi yang dilaung-laungkan telah bertukar menjadi ‘reformoney’ – memperkaya kroni, memiskinkan rakyat. Ini bukan pentadbiran, ini rompakan gaya moden. Lebih tepat lagi, rompakan madani,” katanya. - Media Telus

+ - reset