Berita Berita
Anthony Loke kongsi pengalaman cemas penerbangan empat jam akibat cuaca buruk

KUALA LUMPUR 5 Jun - Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkongsi pengalaman cemas apabila penerbangan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur yang sepatutnya hanya mengambil masa 50 minit berubah menjadi hampir empat jam akibat cuaca buruk malam tadi.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Loke memaklumkan beliau menaiki penerbangan AirAsia AK6047 pada jam 10.45 malam selepas menghadiri majlis makan malam kutipan dana DAP Johor. Namun, pesawat itu terpaksa berpusing di ruang udara sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas cubaan mendarat gagal akibat angin lintang kuat dan ribut petir.
“Ketika kami menghampiri landasan, angin lintang yang kuat dan ribut kencang memaksa juruterbang membatalkan pendaratan. Kami berpusing di ruang udara KLIA dan akhirnya pesawat terpaksa dilencongkan ke Pulau Pinang untuk mengisi minyak,” katanya.
Menurut beliau, sekurang-kurangnya lima penerbangan AirAsia lain turut mengalami lencongan, manakala kemungkinan ramai penumpang lain juga terkesan akibat cuaca tidak menentu, yang menjadi antara cabaran utama dalam operasi penerbangan.
Bagaimanapun, Loke memuji tindakan pantas dan profesionalisme tinggi yang ditunjukkan oleh Kapten pesawat, Teng Huah Jer, dan Pembantu Pertama, Bryan Alexander Yin Kian Yam dalam mengendalikan situasi tersebut.
“Kapten mengendalikan situasi dengan sangat baik melalui komunikasi yang tenang dan sentiasa memberikan maklumat terkini kepada penumpang. Ini memainkan peranan penting dalam menenangkan semua orang dalam situasi seperti itu,” katanya.
Loke turut merakamkan penghargaan kepada kru kabin yang diketuai Muhammad Asyraf Muhammad Nasrullah, bersama Mandasari Nikita Florensia, Bagus Setyadi Nugroho dan Norjuniza Muhammad atas sikap profesional dan empati tinggi yang ditunjukkan sepanjang insiden berlaku.
“Walaupun mereka terpaksa bekerja lebih masa, kru tetap senyum dan meminta maaf kepada setiap penumpang atas segala kesulitan. Mereka adalah contoh terbaik kru penerbangan.
“Terima kasih diucapkan kepada petugas darat, pengawal trafik udara dan ramai lagi kakitangan sokongan – wira-wira yang tidak didendang – dari Senai, Pulau Pinang hingga ke KLIA atas tindakan pantas dan koordinasi yang membawa kami pulang dengan selamat,” katanya.
Pesawat akhirnya mendarat dengan selamat di KLIA pada jam 2.40 pagi. Sebagai tanda sokongan moral dan penghargaan kepada kru penerbangan, Loke berkata beliau menunggu semua penumpang turun dahulu sebelum meninggalkan pesawat. – Media Telus
Berita berkaitan
June 8, 2025, 11:13 am
Lembu korban mati jatuh perigi di Kampung Sireh
June 8, 2025, 11:06 am
Lelaki meninggal dunia selepas sertai gotong-royong korban Aidiladha
June 8, 2025, 11:00 am
Aliran trafik lancar di semua lebuh raya utama setakat pagi ini
June 8, 2025, 10:53 am
Seorang lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia di tanah suci, jumlah kini sembilan orang
June 8, 2025, 10:07 am
Tradisi 25 tahun, Al-Madrasatul Faridiyah rai Aidiladha dengan korban 150 kambing, 7 lembu
June 7, 2025, 12:43 pm
Sultan Selangor kecewa kes penipuan pakej haji semakin meningkat
June 7, 2025, 12:37 pm
Anwar, Wan Azizah sertai solat sunat Aidiladha di Masjid Putra
June 7, 2025, 12:29 pm
Xisco Munoz dilantik ketua jurulatih baharu JDT
June 7, 2025, 10:02 am