TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Yayasan Pendidikan MARA beri bantuan segera kepada semua mangsa kemalangan bas UPSI

By
|
Kongsi
image

GERIK, 9 Jun – Yayasan Pendidikan MARA (YPM) meluluskan sumbangan segera sebanyak RM1,000 dalam bentuk tunai kepada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam nahas bas di Jalan Raya Timur-Barat, awal pagi tadi.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, ketika menziarahi lima mangsa yang dirawat di Hospital Gerik, memaklumkan bahawa sumbangan itu diberikan khusus kepada mangsa serta ibu bapa yang datang dari jauh, terutamanya mereka daripada keluarga kurang berkemampuan.

"Yayasan Pendidikan MARA (YPM) meluluskan sumbangan segera RM1,000 secara tunai kepada mangsa terbabit, khususnya ibu bapa yang datang dari jauh. Kebanyakan mangsa yang saya temui berasal daripada keluarga berpendapatan rendah, termasuk anak-anak yatim," katanya.

Lawatan itu dilakukan atas arahan Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagi menzahirkan simpati dan sokongan moral kepada para mangsa serta keluarga mereka.

Asyraf turut menyampaikan sumbangan kepada lima mangsa yang dirawat di hospital, manakala bagi dua mangsa yang maut dan sedang melalui proses bedah siasat, bantuan diserahkan kepada waris masing-masing.

Dalam lawatannya, beliau sempat bertemu dengan seorang pelajar, Norain Najwa, yang dilaporkan menitiskan air mata apabila menyuarakan kesukaran keluarganya menyambung pengajian akibat kekangan kewangan serta masalah teknikal dalam permohonan bantuan MARA.

"Saya tekankan bahawa faktor kewangan tidak seharusnya menjadi penghalang untuk mereka melanjutkan pelajaran. Saya juga arahkan agar kes seperti ini diselesaikan segera dengan bantuan Pengarah MARA Perak," jelasnya.

Menurut Asyraf, tiada pelajar UPSI yang secara rasmi merupakan penerima tajaan MARA daripada kalangan 42 individu yang menaiki bas tersebut. Namun, beliau berkata beberapa pelajar pernah memohon dan permohonan mereka ditolak atas isu teknikal.

Katanya lagi, mangsa yang mengalami kecederaan ringan seperti patah tulang dijangka dibenarkan pulang dalam masa terdekat selepas menerima rawatan dan sedang menunggu ketibaan ahli keluarga untuk pulang ke rumah masing-masing.

Asyraf turut menyampaikan salam serta ucapan takziah daripada Datuk Seri Ahmad Zahid kepada semua mangsa dan keluarga yang terlibat dalam tragedi yang amat menyayat hati itu. - Media Telus

+ - reset