TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tragedi bas UPSI: Kerajaan kaji semula SOP sewa bas oleh pelajar - Zambry

By
|
Kongsi
image

IPOH, 9 Jun – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir memaklumkan bahawa prosedur operasi standard (SOP) berkenaan penyewaan bas oleh pelajar serta langkah keselamatan dalam pergerakan mereka akan dikaji semula susulan tragedi kemalangan yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik.

Beliau berkata, kerajaan akan menyerahkan kepada kementerian berkaitan untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kemalangan tersebut bagi memastikan segala garis panduan keselamatan dipatuhi agar kejadian sama tidak berulang.

Menurut Zambry, beliau telah berbincang dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dan kini semua pihak terlibat sedang memberikan tumpuan terhadap siasatan terperinci oleh pihak berkuasa.

Buat masa ini, katanya, adalah terlalu awal untuk membuat sebarang spekulasi dan semua pihak diminta mendoakan mangsa yang tercedera agar segera sembuh serta mereka yang terkorban ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Beliau berkata demikian kepada media ketika berada di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.

Dalam masa yang sama, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan segala bantuan diperlukan oleh mangsa dan keluarga dapat disalurkan dengan segera.

Tindakan pantas telah diambil termasuk penyediaan keperluan asas, pengurusan jenazah dan penyelarasan logistik dari hospital ke lokasi pengebumian.

KPT turut menyalurkan bantuan kewangan kepada keluarga mangsa berupa RM2,000 bagi pengurusan jenazah, manakala UPSI sendiri menyediakan bantuan tambahan sebanyak RM1,000.

Selain itu, bantuan lain seperti insurans, zakat, pampasan kemalangan dan bantuan pengebumian sedang diuruskan oleh pihak universiti.

Zambry turut meluahkan rasa sedih dan pilu atas kehilangan besar ini yang dianggap satu kehilangan generasi muda yang berpotensi menyumbang kepada negara.

Katanya, ini adalah satu tragedi yang menyayat hati dan amat meruntun perasaan seluruh rakyat Malaysia.

Beliau menyeru orang ramai agar memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara profesional dan menyeluruh, dan dalam masa yang sama terus memberikan sokongan moral kepada keluarga mangsa yang sedang melalui ujian paling sukar dalam hidup mereka.

+ - reset