Berita Berita
'Ada yang meronta-ronta, ada yang tiba-tiba senyap' - Penuntut UPSI terselamat kongsi detik cemas kemalangan

GERIK, 9 Jun – Kemalangan ngeri di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik–Jeli berhampiran Tasik Banding awal pagi tadi mengorbankan 15 nyawa, apabila sebuah bas persiaran membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terbabas selepas melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.
Seorang daripada mangsa terselamat, Aleeya Maisarah Azizzani, 21, berkata ketika kejadian, dia masih berjaga dan menyedari sesuatu yang tidak kena sebelum bas itu hilang kawalan.
"Saya perasan bas macam tak stabil masa masuk selekoh. Tiba-tiba dia jatuh ke kiri dan kena pembahagi jalan.
"Saya duduk di belakang, jadi saya tak nampak sangat keadaan depan. Tapi lepas itu baru tahu ada kereta Perodua Alza biru juga terbabit," katanya.
Menurutnya, suasana dalam bas ketika itu sangat kecoh, gelap dan menyedihkan apabila ramai rakan-rakan penumpang berada dalam keadaan parah, ada yang terperangkap dan meronta meminta tolong.
"Saya nampak mereka meronta-ronta, ada yang tersepit dan ada yang tiba-tiba senyap. Waktu itu saya tahu, mereka sudah tiada," katanya lagi.
Aleeya yang mengalami bengkak di kepala dan kaki terseliuh, serta sakit belakang, berkata keadaan bas yang tidak stabil sejak awal perjalanan membuatkan dia berasa tidak sedap hati.
"Saya memang tak tidur masa tu. Dari awal lagi, bila bas masuk lopak, saya dah rasa tak sedap hati."
Menurutnya lagi, walaupun suasana gelap menyukarkan pandangan, dia sempat melihat ada rakan-rakan yang cedera teruk, ada yang terperangkap di dalam longkang dan sudah tidak bernyawa.
"Ada juga yang kata kepala dia pecah, tapi saya tak tengok. Saya hanya dengar orang sebut. Ada juga yang saya nampak duduk dalam longkang… rupa-rupanya dah meninggal."
Kemalangan itu membabitkan 44 individu termasuk 42 pelajar UPSI, seorang pemandu dan seorang kelindan. Seramai 13 mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Gerik.
Siasatan awal pihak polis mengesahkan bahawa bas berkenaan melanggar belakang Perodua Alza sebelum terbabas dan terbalik. - Media Telus
Berita berkaitan
June 9, 2025, 4:07 pm
Jaga-jaga, kes Covid-19 meningkat 20 peratus dalam tempoh seminggu
June 9, 2025, 3:35 pm
Yayasan Pendidikan MARA beri bantuan segera kepada semua mangsa kemalangan bas UPSI
June 9, 2025, 2:31 pm
Tragedi bas UPSI: Kerajaan kaji semula SOP sewa bas oleh pelajar - Zambry
June 9, 2025, 12:39 pm
Bapa enggan ikat jamin anak bawah umur mengaku rogol rakan lebih 16 kali
June 9, 2025, 12:12 pm
Bas terbabit kemalangan disewa pelajar sendiri - Naib Canselor UPSI
June 9, 2025, 11:42 am