TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tragedi bas UPSI: Polis siasat punca kemalangan daripada kecuaian manusia atau masalah teknikal

By
|
Kongsi
image

 

GERIK 9 Jun - Polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kemalangan maut membabitkan bas persiaranyang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), mengakibatkan 15 maut dan puluhan lagi cedera, dalam tragedi yang berlaku awal pagi Isnin.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan melibatkan pelbagai agensi berkaitan.

"Kita sedang meneliti sama ada kemalangan ini berpunca daripada kecuaian manusia atau kegagalan teknikal kenderaan. Semua sudut akan dikaji secara terperinci termasuk keadaan fizikal kenderaan, kelayakan pemandu, rekod saman lampau serta kelajuan ketika kejadian.

Pemeriksaan turut akan membabitkan kerjasama dari pihak ketiga iaitu PUSPAKOM, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, hari ini.

Keadaan Jalan Gelap dan Berselekoh

Mengulas lanjut, Noor Hisam berkata siasatan masih di peringkat awal dan pihaknya belum dapat merekodkan keterangan daripada pemandu bas kerana masih menerima rawatan akibat kecederaan.

"Keadaan jalan di lokasi kejadian adalah berselekoh, menurun dan gelap. Tiada lampu jalan di kawasan itu kecuali berhampiran jambatan Tasik Banding. Kita juga tidak menolak kemungkinan keadaan geografi jalan turut menyumbang kepada kejadian.

Kemalangan ini berlaku waktu malam. Laporan awal menunjukkan bas melanggar belakang kenderaan Perodua Alza milik IPD yang juga sedang menghala ke Gerik. Bukan kemalangan bertembung," katanya lagi.

Bedah Siasat dan Proses Pengecaman

Menurut beliau, proses bedah siasat dilakukan di dua hospital – Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh dan Hospital Gerik, manakala proses pengecaman jenazah mengambil masa disebabkan jumlah korban yang tinggi.

Untuk rekod, bas persiaran terbabit membawa 44 individu termasuk 42 pelajar UPSI berusia lingkungan 21 hingga 23 tahun, serta seorang pemandu dan kelindan.

13 mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia di Hospital Gerik selepas menerima rawatan. - Media Telus

 

+ - reset