TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mahkamah Tinggi tetapkan 20 Jun keputusan DNAA kes pengubahan wang haram Najib

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 11 Jun — Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 20 Jun ini untuk memutuskan sama ada akan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Najib Razak daripada tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM27 juta.

Hakim K Muniandy menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan berhubung permohonan DNAA terhadap bekas perdana menteri itu.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memohon agar anak guamnya dilepas tanpa dibebaskan dengan alasan perbicaraan kes tersebut telah tertangguh lebih enam tahun sejak tuduhan dibuat pada 2019. Tambahnya, representasi pembelaan yang dihantar pada 31 Julai 2023 juga telah ditolak oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

"Kes ini sudah berlarutan terlalu lama. Tiada kepastian bila perbicaraan akan bermula. Pihak pembelaan percaya DNAA wajar diberikan untuk memberi ruang kepada pendakwaan membuat persediaan tanpa prejudis dan pada masa sama tidak menafikan hak tertuduh untuk kejelasan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ashrof Adrin Kamarul memberitahu mahkamah bahawa AGC menolak representasi tersebut dan pendakwaan berhasrat meneruskan kes. Namun begitu, pihaknya kini menghadapi kekangan untuk mengakses lebih 800 eksibit perbicaraan kes SRC terdahulu yang diperlukan untuk kes ini.

“Eksibit itu kini berada dalam simpanan mahkamah, dan kami sedang berusaha mendapatkannya semula. Kali terakhir ia digunakan ialah ketika perbicaraan pada 2020, dan proses mengesan serta mengumpulkan semula semua dokumen berkenaan akan mengambil masa,” katanya.

Tambah beliau, kekangan masa dan dokumentasi bukan alasan kukuh untuk memberikan DNAA kerana pihak pendakwaan tetap berhasrat meneruskan perbicaraan.

Najib, 70, didakwa pada 3 Februari 2019 atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International, yang didakwa digunakan untuk aktiviti tidak sah dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya di AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun, denda maksimum RM5 juta atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kes itu sebelum ini dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 13 Mac 2019.

+ - reset